Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperkenalkan kemudahan Zakat Perniagaan Simpanan Shariah yang membolehkan ahli beragama Islam menunaikan zakat tahunan melalui potongan terus daripada dividen Simpanan Shariah.
KWSP tawar kemudahan potongan zakat daripada dividen tahunan Simpanan Shariah
Menerusi kemudahan baharu itu, bayaran zakat akan dipotong daripada dividen tahunan selepas dividen diisytiharkan, sekali gus memudahkan ahli menunaikan kewajipan berkenaan tanpa perlu menguruskan pengiraan dan pembayaran secara berasingan.
KWSP akan bertindak sebagai wakil untuk menyalurkan bayaran zakat bagi pihak ahli kepada pihak berkuasa zakat negeri berdasarkan negeri tempat ahli bekerja.
Bagaimanapun, kemudahan itu bersifat pilihan dan hanya terpakai kepada ahli Simpanan Shariah beragama Islam yang memilih untuk menggunakannya.
Ahli yang tidak memilih kemudahan berkenaan masih boleh menunaikan zakat secara individu, manakala ahli bukan Islam tidak tertakluk kepada kewajipan zakat.
Pengenalan kemudahan itu selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-125 yang memutuskan bahawa Simpanan Shariah tertakluk kepada kewajipan zakat tahunan.
Keputusan itu dibuat kerana Simpanan Shariah memenuhi ciri pemilikan sempurna dan pencarum berhak berurusan dengan KWSP melalui akad Wakalah. Muzakarah turut memutuskan bahawa zakat yang dikenakan ke atas Simpanan Shariah ialah zakat perniagaan dan KWSP boleh menguruskan pembayarannya bagi pihak pencarum.
Zakat dikira berdasarkan dividen tahunan
Menurut KWSP, pengiraan zakat akan dibuat secara kolektif (khultah) pada setiap akhir tahun kewangan, iaitu 31 Disember, menggunakan kaedah modal kerja terlaras bagi menentukan asas zakat Simpanan Shariah yang dikenakan zakat.
Kadar zakat yang ditetapkan ialah 2.577 peratus.
Kewajipan zakat perniagaan ke atas Simpanan Shariah akan diagihkan kepada ahli beragama Islam secara pro-rata berdasarkan Kadar Zakat Ahli, yang ditentukan mengikut jumlah agihan dividen tahunan Simpanan Shariah.
Bagi ahli yang memilih kemudahan itu, jumlah zakat masing-masing akan dipotong daripada dividen tahunan selepas dividen diisytiharkan.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, pengenalan kemudahan berkenaan merupakan penambahbaikan penting kepada Simpanan Shariah bagi memudahkan ahli menunaikan kewajipan zakat ke atas simpanan persaraan mereka.
Menurutnya, KWSP akan menguruskan proses pengiraan dan pembayaran zakat bagi ahli yang memilih kemudahan itu, sekali gus membolehkan mereka memberi tumpuan kepada usaha membina simpanan persaraan.
Beliau berkata, kemudahan tersebut turut mencerminkan komitmen KWSP untuk terus memperkukuh penawaran Simpanan Shariah dengan memastikan perkhidmatan yang disediakan selaras dengan tadbir urus Syariah serta memenuhi keperluan ahli.
Simpanan layak dikeluarkan tidak perlu zakat berasingan
KWSP turut menjelaskan bahawa simpanan yang telah layak untuk pengeluaran, termasuk simpanan dalam Akaun Fleksibel, tidak memerlukan bayaran zakat berasingan oleh ahli di bawah kemudahan Zakat Perniagaan Simpanan Shariah.
Pendekatan itu bertujuan memberikan kejelasan kepada ahli yang memilih kemudahan berkenaan kerana mereka tidak perlu menentukan sendiri kaedah dan jumlah zakat bagi simpanan KWSP secara berasingan.
Ahli Simpanan Shariah beragama Islam yang ingin menggunakan kemudahan itu boleh membuat pilihan menerusi KWSP i-Akaun (Ahli), Terminal Layan Diri (Self-Service Terminal, SST) atau di mana-mana pejabat KWSP di seluruh negara.
Untuk maklumat lanjut, ahli boleh melayari laman web rasmi KWSP dan merujuk Soalan Lazim (FAQ) mengenai Zakat Perniagaan Simpanan Shariah.

