Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Tak Perlu Pening Nak Tengok Mana, Ini Cara Tonton Piala Dunia 2026
Setiap empat tahun sekali, dunia seakan-akan berhenti seketika untuk memberi laluan kepada satu acara yang mampu menyatukan berbilion manusia tanpa mengira bangsa, bahasa dan negara di bawah satu payung, Piala Dunia FIFA.
Tahun ini, pentas terbesar bola sepak dunia itu kembali membuka tirainya apabila edisi 2026 bakal bermula pada 12 Jun, dengan Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico berganding bahu sebagai tuan rumah bagi kejohanan yang dinanti-nantikan oleh peminat sukan di seluruh dunia.
Lebih menarik, Piala Dunia 2026 bakal mencipta sejarah tersendiri apabila menyaksikan penyertaan terbesar pernah direkodkan dengan 48 pasukan bertanding berbanding 32 sebelum ini.
Format baharu itu bukan sahaja menjanjikan lebih banyak perlawanan dan aksi mendebarkan, malah membuka ruang kepada lebih banyak negara untuk mencabar dominasi kuasa-kuasa besar bola sepak dunia. Ia sekali gus usaha merebut trofi paling berprestij di peringkat antarabangsa.
Namun ketika debaran Piala Dunia semakin terasa, ramai peminat bola sepak di Malaysia mula tertanya-tanya satu perkara penting.
Mana nak tengok siaran langsung Piala Dunia 2026 nanti?
Jangan risau, bagi yang masih keliru, SK kongsikan cara rakyat Malaysia boleh menyaksikan kejohanan paling dinanti-nantikan ini.
Bagi peminat bola sepak di Malaysia, teka-teki mengenai platform rasmi untuk menyaksikan Piala Dunia 2026 akhirnya terjawab.
RTM dan Unifi TV disahkan sebagai penyiar rasmi kejohanan tersebut di Malaysia, sekali gus memastikan aksi 48 pasukan terbaik dunia itu tetap dapat dinikmati oleh peminat tempatan.
Liputan menyeluruh merangkumi kesemua 104 perlawanan secara langsung akan disiarkan di Unifi TV, manakala RTM akan menyiarkan sebahagian besar perlawananan secara langsung dan tertunda.
Pengumuman ini pastinya menambah lagi keterujaan peminat bola sepak di Malaysia menjelang berlangsungnya kejohanan tersebut.
Orang ramai boleh menonton Piala Dunia 2026 secara percuma menerusi saluran RTM di platform MYTV, termasuk TV Okey serta saluran Sukan.
Selain itu, perlawanan juga boleh diakses melalui aplikasi RTMKLIK yang boleh digunakan di pelbagai peranti seperti telefon pintar, tablet, komputer dan televisyen pintar.
RTMKLIK boleh dimuat turun secara percuma melalui Google Play Store, Apple App Store dan Huawei AppGallery.
Menariknya, RTMKLIK bukan sahaja menyiarkan aksi secara langsung dan tertunda, malah turut menyediakan kandungan video atas permintaan (VOD), jadi peminat boleh ulang tonton atau catch up perlawanan bila-bila masa ikut keselesaan sendiri, tak kira di mana pun berada.