Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Tak Sangka, 5 Mata Wang Pelik Ini Pernah Digunakan Dalam Sejarah Manusia

5 mata wang pelik
Kredit: AI Flow/Gambar Hiasan

Sejak kecil, kita dididik bahawa wang ialah apa sahaja yang dicetak kerajaan pada kepingan kertas atau ditempa dalam bentuk syiling.

Namun, jika menelusuri sejarah, konsep mata wang sebenarnya jauh lebih fleksibel daripada yang disangka.

Pada zaman dahulu, manusia menggunakan pelbagai barangan sebagai alat pertukaran, termasuk gigi haiwan, keju, kulit siput, teh mampat dan garam.

Bayangkan jika simpanan hidup anda bukan disimpan dalam akaun bank, sebaliknya berupa beberapa bongkah garam atau sebungkus gigi ikan paus.

Hari ini, SK kongsikan lima mata wang paling pelik yang pernah digunakan dalam sejarah manusia.

5 mata wang pelik yang pernah digunakan

  1. Gigi Haiwan

Jika zaman sekarang kehilangan gigi susu mungkin hanya membawa sedikit wang daripada ‘Peri Gigi’, pada suatu ketika dahulu gigi haiwan benar-benar mempunyai nilai ekonomi.

Di Fiji, gigi ikan paus sperma yang digilap dikenali sebagai tabua dan menjadi simbol kekayaan pada abad ke-19. Sementara itu, masyarakat di Papua New Guinea dan Kepulauan Solomon turut menggunakan gigi anjing, babi dan ikan lumba-lumba sebagai barangan bernilai.

Kredit: AI Flow/Gambar Hiasan

Gigi haiwan berkenaan digunakan untuk mendapatkan pelbagai keperluan, termasuk makanan dan sampan, malah ada yang digunakan dalam urusan membentuk perjanjian damai.

  1. Keju

Ungkapan bahawa keju bernilai seperti emas di Itali suatu ketika dahulu bukan sekadar perumpamaan.

Sejak abad ke-13, Parmigiano-Reggiano menjadi sejenis pelaburan yang boleh dimakan di utara Itali.

Kredit: AI Flow/Gambar Hiasan

Nilainya begitu tinggi sehingga sehingga kini, Credem Bank di Itali masih menerima roda keju berkenaan sebagai cagaran pinjaman.

Jutaan dolar nilai keju disimpan dalam bilik kebal terkawal suhu, menjadikan keju bukan sekadar bahan makanan, malah aset yang mempunyai nilai kewangan.

  1. Kulit Siput

Tabiat mengutip kulit siput atau cengkerang cantik ketika berada di pantai mungkin ada kaitan dengan sejarah manusia yang jauh lebih lama.

Masyarakat pribumi di pelbagai kawasan dunia, dari Amerika Utara hingga Afrika Barat, pernah menggunakan kulit siput sebagai mata wang.

Suku Algonquin dan Wampanoag di timur laut Amerika Utara menghasilkan manik wampum daripada cangkerang quahog untuk digunakan dalam urusan perdagangan serta memeterai perjanjian.

Kredit: AI Flow/Gambar Hiasan

Di Asia dan Afrika pula, kulit siput laut khususnya cowrie menjadi bentuk pembayaran utama dan terus digunakan di beberapa kawasan sehingga abad ke-20.

Penggunaan kulit siput itu turut meninggalkan kesan dalam bahasa moden.

Istilah slanga Amerika “clams” yang merujuk kepada wang dipercayai mendapat inspirasi daripada penggunaan kulit siput sebagai mata wang oleh masyarakat pribumi Amerika.

  1. Bata Teh

Hari ini, secawan kopi atau teh mungkin berharga beberapa ringgit, tetapi pada suatu ketika dahulu, teh sendiri boleh digunakan sebagai mata wang.

Di Asia Tengah dan Utara, blok teh mampat yang diperbuat daripada daun teh kering menjadi medium perdagangan penting di kawasan terpencil seperti Tibet, Mongolia dan Siberia.

Bentuknya yang tahan lama, mudah dibawa dan boleh diminum menjadikannya aset yang praktikal untuk pedagang yang merentasi laluan perdagangan seperti Jalan Sutera.

Kredit: AI Flow/Gambar Hiasan

Bata teh biasanya dicop dengan tanda tertentu bagi menunjukkan kualiti dan ketulenannya. Ada juga yang diukir dengan corak rumit sebelum sebahagiannya dipatahkan untuk digunakan dalam urus niaga.

Penggunaan teh sebagai mata wang begitu meluas sehingga pada awal abad ke-20, pengembara di kawasan terpencil Mongolia dan Tibet mendapati teh mempunyai kuasa beli yang lebih tinggi berbanding emas atau perak.

  1. Bongkah garam

Di Ethiopia purba, garam begitu penting untuk kelangsungan hidup sehingga dikenali sebagai “emas putih”.

Garam sering diperdagangkan dalam bentuk bongkah garam berbentuk segi empat tepat yang dikenali sebagai amole, khususnya dalam kalangan pedagang di kawasan gurun.

Bongkah garam yang diperoleh dari kawasan Danakil Depression itu digunakan sebagai alat pembayaran, barangan pertukaran dan pada masa sama boleh digunakan untuk memasak.

Malah, jika anda pernah mendengar ungkapan seseorang itu “worth their salt”, istilah tersebut mempunyai kaitan dengan tradisi yang bermula sejak zaman tentera Rom.

Kredit: AI Flow/Gambar Hiasan

Pada ketika itu, salarium atau gaji merujuk kepada elaun garam yang diberikan kepada tentera.

Daripada gigi haiwan hingga bongkah garam, sejarah membuktikan bahawa konsep wang tidak semestinya terikat kepada kertas atau syiling.

Selagi sesuatu barangan mempunyai nilai dan diterima oleh masyarakat, ia boleh berfungsi sebagai mata wang.

Intipati
  • Gigi haiwan pernah digunakan sebagai barangan bernilai di Fiji, Papua New Guinea dan Kepulauan Solomon.
  • Parmigiano-Reggiano di Itali mempunyai nilai kewangan dan masih diterima sebagai cagaran pinjaman oleh Credem Bank.
  • Kulit siput, bata teh dan bongkah garam pernah menjadi alat pembayaran di beberapa wilayah dunia.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan