Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Tak Sangka, Kajian Saintis Dapati Jumlah Pokok Di Bumi Melebihi Jumlah Bintang Dalam Galaksi Bima Sakti

Syed Faisal Sayed Muhammad
Kredit Trevor Hughes/USA TODAY

Lahir di Malaysia, kita sememangnya sangat bertuah kerana negara ini dianugerahkan dengan gunung-ganang dan hutan tebal yang menghijau. Jika anda berada di kawasan luar bandar, celik mata sahaja terus ada pokok depan mata. Pendek kata, pokok ada di mana-mana.

Begitupun, pernah tak anda terfikir, berapa banyak sebenarnya pokok yang ada di atas muka Bumi ini? Luas permukaan planet ini adalah 510.1 juta km² manakala luas kawasan tanahnya pula adalah kira-kira 148.326 juta km2, atau kira-kira 30 peratus daripada keseluruhan kawasan Bumi. Jadi, dengan saiz sebegitu luas, berapa banyak sebenarnya pokok yang ada di kawasan-kawasan ini?

Perkara berkenaan sebenarnya sudahpun dikaji oleh sekumpulan saintis pada 2015. Melalui data-data yang dikumpul, saintis menganggarkan bahawa terdapat 3 trilion batang pokok di dunia. Jumlah berkenaan ternyata mengejutkan ramai pihak, kerana ia melebihi jumlah anggaran bintang yang ada di seleuruh galaksi Bima Sakti, iaitu 100 hingga 400 bilion bintang.

Malah, angka berkenaan juga lebih daripada anggaran bilangan sel dalam otak seorang manusia. Jika jumlah berkenaan tepat, maka dapat disimpulkan bahawa setiap penduduk di Bumi ‘memiliki’ kira-kira 420 batang pokok seorang.

Bagaimana saintis mendapat angka 3 trilion itu? Sebenarnya, mereka tidaklah meneroka semua hutan yang ada dan mengira pokok batang ke batang. Sebaliknya, mereka menggabungkan kiraan sebenar jumlah pokok dalam satu kawasan petak hutan, di seluruh dunina, dengan gambar peta hutan yang diambil menggunakan satelit.

Dengan membandingkan jumlah kiraan pokok dalam satu petak dengan gambar peta hutan yang diambil satelit, saintis kemudian membuat jangkaan jumlah pokok yang ada di Bumi. Penyelidikan ini mengambil masa kira-kira dua tahun untuk disempurnakan. Komuniti saintis juga menyifatkan anggara 3 trilion itu sebagai munasabah kerana diperolehi menggunakan kaedah sains yang baik.

Sebelum ini, kiraan awal yang dibuat saintis menunjukkan jumlah pokok global adalah sebanyak 400 bilion sahaja, bagaimanapun kajian tersebut menggunakan kaedah pengiraan yang kurang canggih.

Melihat lebih lanjut data berkenaan, Rusia dinobatkan sebagai negara dengan jumlah pokok terbanyak di dunia iaitu anggaran 642 bilion. Manakala Amerika Syarikat pula berada di kedudukan keempat dengan bilangan 228 bilion, iaitu di belakang Kanada dan Brazil.

Dalam penemuan lain pula, penyelidik juga turut berkongsi dapatan kajian yang menggusarkan apabila manusia didapati menebang kira-kira 15.3 bilion batang pokok setiap tahun dan jumlah berkenaan mengurangkan populasi pokok di Bumi hampir separuh sejak tamadun bermula.

Kepelbagaian biodiversiti sangat diperlukan bagi menyeimbangkan ekosistem di atas muka bumi ini. Jadi mari kita sama-sama menjaga alam sekitar agar generasi akan datang dapat melihat apa yang kita lihat sekarang ini.

Sumber: USA Today