Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Tak Sangka Ribuan Sanggup Datang! Pengantin Tiada Keluarga Besar Risau Kahwin Sunyi, Jemput Orang Ramai Meriahkan Hari Bahagia

Pengantin Tiada Keluarga
Kredit: Xu Chenghong & Media Sosial

Hari perkahwinan pastinya menjadi antara detik paling bermakna dalam hidup seseorang, apatah lagi apabila dapat diraikan bersama keluarga tersayang.

Namun, tidak semua orang berpeluang menikmati suasana meriah itu, lebih-lebih lagi mereka yang membesar tanpa kehadiran keluarga lengkap.

Begitulah kisah seorang lelaki dari Zhaotong, Yunnan, China, Xu Chenghong, yang mengambil keputusan luar biasa menjelang hari perkahwinannya.

Pengantin Tiada Keluarga Besar Risau Majlis Kahwin Sunyi

Xu yang membesar sebagai anak yatim piatu hanya mempunyai seorang abang, manakala bakal isterinya, Chuichui, juga tidak mempunyai keluarga.

Bimbang majlis perkahwinannya nanti terasa sunyi tanpa kehadiran ramai tetamu, Xu kemudian mengambil keputusan mengajak orang ramai menerusi media sosial.

Menerusi satu hantaran, dia berkongsi bakal mendirikan rumah tangga pada 31 Oktober dan berharap orang ramai sudi memeriahkan majlis tersebut.

Menurut Xu, bapanya meninggal dunia ketika dia baru berusia tiga tahun, manakala ibunya meninggalkan dia bersama abangnya dua tahun kemudian.

Ibunya menyerahkan mereka kepada nenek selepas membuat keputusan untuk berkahwin semula, sebelum wanita itu meninggal dunia akibat penyakit.

“Saya membesar tanpa ibu bapa dan abang yang tiga tahun lebih tua merupakan satu-satunya ahli keluarga saya,” katanya.

Dalam hantaran sama, Xu turut mendedahkan dia berjaya mengumpulkan 167,500 yuan (kira-kira RM102,115) hasil usahanya sendiri untuk mengahwini wanita dicintai.

“Jika anda tidak keberatan, datanglah menjamu selera bersama kami dan bantu meramaikan majlis ini, saya akan sediakan hidangan istimewa.”

“Saya sering dipandang rendah sepanjang hidup, cuma sekali ini saya mahu melihat deretan kereta dan berjalan dengan bangga di kampung sendiri,” katanya.

Tidak disangka-sangka, jemputan terbuka itu mendapat sambutan luar biasa apabila ribuan orang dari pelbagai kawasan di China mengambil keputusan untuk hadir.

Mereka bukan sahaja datang untuk meraikan pasangan tersebut, malah turut membawa makanan, bunga dan hadiah bagi membantu menjayakan majlis.

Apabila kediaman Xu tidak lagi mampu menampung jumlah tetamu, orang ramai turut membantu menyediakan makanan, menyusun meja serta mengangkat barangan.

Malah, pihak berkuasa tempatan turut membantu memindahkan lokasi sambutan ke tempat lebih besar bagi menampung kehadiran tetamu.

Beberapa tukang masak profesional juga menawarkan bantuan menyediakan hidangan, manakala pembuat kek menghasilkan kek perkahwinan khas setinggi enam tingkat.

Pada 31 Oktober, Xu dan Chuichui akhirnya disatukan dalam majlis yang turut menyaksikan mereka bertukar cincin serta memberi penghormatan mengikut adat perkahwinan masyarakat Cina.

Pasangan itu kemudian menari mengenakan pakaian tradisional masyarakat Miao mengelilingi unggun api bersama tetamu yang hadir memeriahkan suasana.

Menariknya, Xu menolak pemberian wang tunai daripada orang ramai dan sebaliknya hanya berpesan supaya mereka menjaga keselamatan diri.

Apa yang bermula dengan kebimbangan seorang lelaki terhadap majlis perkahwinan yang sunyi akhirnya bertukar menjadi kenangan indah hasil kebaikan orang tidak dikenali.

Intipati
  • Xu Chenghong menjemput orang ramai selepas bimbang majlis perkahwinannya sunyi tanpa keluarga besar.
  • Ribuan tetamu hadir membawa makanan, bunga dan hadiah bagi memeriahkan sambutan pasangan itu.
  • Pihak berkuasa tempatan membantu memindahkan majlis ke lokasi lebih besar untuk menampung tetamu.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan