Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

NGO Mahu Kerajaan Pertimbang Semula Hasrat Sedia Tempat Khas Merokok

Kredit: Bernama

KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) — Badan bukan kerajaan (NGO) berharap kerajaan pertimbangkan semula cadangan menyediakan kawasan merokok di tempat awam melibatkan kos RM1 juta, sebaliknya menggunakan peruntukan itu bagi mengubati perokok atau penyakit berkaitan dengannya.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Dr Zainal Ariffin Omar berkata penyediaan tempat merokok akan memberi gambaran seakan amalan itu adalah sesuatu yang diterima masyarakat.

Tak selari budaya sihat

“Ini tidak selari dengan hasrat Malaysia untuk mencapai sebagai negara dengan budaya tidak merokok pada 2045,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini, mewakili 56 badan profesional dan NGO antaranya Majlis Kawalan Tembakau Malaysia dan Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia.

Beliau berkata penyediaan tempat merokok juga akan menyebabkan perokok sukar untuk mencetuskan “keinginan berhenti rokok”.

premis makanan tempat larangan rokok
Premis makanan menjadi kawasan larangan merokok bermula 1 Jan 2020. (Kredit: Bernama)

Seakan beri sokongan kepada budaya merokok

Katanya, umum sedia maklum amalan itu adalah tidak sihat, bahkan pihak agama turut mengharamkan rokok bagi umat Islam. Tindakan mewujudkan fasiliti itu tidak selari dengan perkara tersebut.

Peruntukan RM1 juta

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dilapor memperuntukkan RM1 juta bagi pembinaan kawasan merokok di tempat awam termasuk kawasan komersial dan medan selera milik 155 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara.

Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata, sejumlah RM5,000 akan diperuntukkan kepada PBT yang mengemukakan permohonan kepada kementerian selepas mengenal pasti lokasi pembinaannya.

Berkuat kuasa 1 Jan lepas, perokok dilarang merokok di 23 kawasan yang diwartakan seperti di tempat makan, kedai berhawa dingin, kawasan hospital, dan premis kerajaan.

Sumber: BERNAMA