Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

RapidKL Sedia 85 Bas Khas Sempena PETRONAS Grand Prix Of Malaysia 2026

rapidkl
Kredit: RapidKL

RapidKL akan menyediakan sebanyak 85 buah bas khas bagi memudahkan pergerakan pengunjung ke PETRONAS Grand Prix Of Malaysia 2026 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 30 Oktober hingga 1 November ini.

RapidKL dalam satu kenyataan hari ini berkata, perkhidmatan itu disediakan bagi memenuhi keperluan mobiliti pengunjung sepanjang acara sukan permotoran berkenaan.

Kredit: Rapid KL

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn Bhd, Syahrul Azmir Ahmad Zaki berkata, pihaknya berharap kemudahan tersebut dapat menjadikan perjalanan pengunjung ke litar lebih mudah dan selesa.

“Setiap tahun, peminat sukan permotoran dari pelbagai lokasi akan berkumpul di Sepang untuk merasai sendiri kemeriahan perlumbaan bertaraf dunia ini,” katanya.

Menurutnya, perkhidmatan bas khas itu akan beroperasi dari beberapa lokasi utama terpilih, iaitu Hab Bas Pasar Seni, Hentian Bas KLCC dan Hab Bas KLIA Terminal 2.

Bagi perjalanan dari Hab Bas Pasar Seni dan Hentian Bas KLCC, tambang ditetapkan pada RM20 sehala atau RM35 bagi perjalanan dua hala.

Sementara itu, tambang dari Hab Bas KLIA Terminal 2 ialah RM12 sehala.

Jelasnya, bas ke Litar Antarabangsa Sepang akan beroperasi mulai 7 pagi hingga 1 tengah hari, manakala perjalanan pulang dari litar bermula pada 4 petang hingga 7 malam dengan kekerapan setiap 30 minit.

Penjualan tiket bas khas itu bermula 22 Oktober ini dan orang ramai boleh mendapatkan tiket di beberapa kaunter terpilih, termasuk Stesen KLCC, Stesen Masjid Jamek, Stesen Pasar Seni dan Stesen KL Sentral.

Tiket turut boleh dibeli di Kaunter Kad Konsesi MyRapid di Hab Bas Pasar Seni serta beberapa lokasi lain, termasuk Hab Pengangkutan Gateway @ KLIA Terminal 2 dan Hentian Bas KLCC, Jalan Ampang.

Dalam pada itu, Rapid KL berkata, perkhidmatan bas perantara percuma turut disediakan dengan kerjasama pihak SIC di sekitar litar sepanjang acara berlangsung.

Ujarnya, semua bas yang terlibat akan menjalani pemeriksaan keselamatan dan dipantau secara berterusan, selain petugas RapidKL ditempatkan di lokasi strategik bagi membantu pelanggan serta mengurus pergerakan penumpang.

Pengunjung turut disaran membeli tiket lebih awal bagi melancarkan perjalanan dan mengelakkan tempoh menunggu yang panjang pada hari acara.

Maklumat lanjut mengenai jadual perjalanan dan pembelian tiket boleh diperoleh menerusi laman web rasmi MyRapid, aplikasi MyRapid PULSE serta saluran media sosial rasmi Rapid KL.

Intipati
  • Rapid KL akan menyediakan 85 bas khas ke Litar Antarabangsa Sepang sepanjang acara.
  • Bas khas beroperasi dari Pasar Seni, KLCC dan KLIA Terminal 2.
  • Tiket mula dijual 22 Oktober di beberapa kaunter dan lokasi terpilih.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan