Seorang pekerja kedai di Jalan Pulomas, Kayu Putih, Pulogadung, Jakarta Timur, Indonesia ditimpa nasib malang apabila tangan kanannya termasuk ke dalam sebuah mesin pengisar daging, lapor Tribun Ambon.
Seperti yang dipetik daripada Kompas.com, kejadian itu berlaku ketika dia sedang mengisar daging pada hari Isnin lalu.
“Mangsa sedang mengisar daging, dan kemudian tangannya terperangkap dalam alat pengisar itu,” kata Gatot Sulaiman, Ketua Sup-Opsi Gulkarmat Jakarta Timur.
Beliau menerima laporan daripada warga setempat pada pukul 8.10 waktu tempatan.
Sejurus selepas menerima laporan itu, pihaknya kemudian telah mengerahkan empat anggota bomba bagi mengeluarkan tangan kanan mangsa dari mesin tersebut.
Namun, operasi mengeluarkan tangan mangsa yang dilakukan oleh anggota bomba tersebut gagal.
Kerana mengalami kecederaan yang parah, mangsa telah dibawa ke Hospital Omni Pulomas dengan tangan kanannya masih tersangkut di mesin tersebut.
“Kecederaan mangsa juga agak serius,” kata Gatot Sulaiman.
Mangsa telah dirujuk ke Hospital Omni Pulomas kerana pasukan perubatan mempunyai peralatan untuk mengeluarkan tangannya.
Mengenai keadaan semasa tangan kanan mangsa, Gatot tidak dapat memberikan maklumat lebih lanjut.