Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Taufan Kalmaegi Mendarat Di Vietnam, Ragut Lima Nyawa

Sofea
taufan kalmaegi vietnam
Kredit: NHAC NGUYEN / AFP

Taufan Kalmaegi Mendarat Di Vietnam, Ragut Lima Nyawa

Taufan Kalmaegi telah melanda Vietnam pada Jumaat, mengorbankan lima lagi nyawa selepas laluan dahsyatnya di Filipina telah menyebabkan 188 orang meninggal dunia.

Menurut AFP, kementerian alam sekitar mengesahkan ribut melanda wilayah Gia Lai, Vietnam, yang membawa angin berkelajuan sehingga 149 kilometer (92 batu) sejam.

Pihak berkuasa Vietnam masih menilai kerosakan pada pagi Jumaat, tetapi kementerian alam sekitar melaporkan lima maut dan 57 rumah musnah di Gia Lai dan Dak Lak yang berdekatan.

Manakala, hampir 3,000 bumbung rumah diterbangkan atau rosak dan 11 bot karam.

Kredit: NHAC NGUYEN / AFP

“Bumbung rumah saya diterbangkan begitu sahaja. Kami semua selamat, (tetapi) taufan itu benar-benar dahsyat, begitu banyak pokok tumbang,” kata seorang penduduk.

Di jalan-jalan berhampiran pantai Quy Nhon di wilayah Gia Lai, wartawan AFP melihat anggota penyelamat dan tentera berganding bahu dengan penduduk tempatan membersihkan pokok-pokok tumbang, mengalihkan serpihan serta mengutip kepingan bumbung logam yang diterbangkan ribut pada waktu malam.

Kredit: NHAC NGUYEN / AFP

Sementara itu, Syarikat tenaga negara memaklumkan bahawa 1.6 juta pelanggan terputus bekalan elektrik selepas taufan itu membadai pantai tengah Vietnam, namun bekalan kepada sepertiga daripada mereka telah dipulihkan pada pagi Jumaat.

Vietnam terletak di salah satu kawasan taufan tropika paling aktif di dunia, dengan purata 10 taufan atau ribut setiap tahun, namun Kalmaegi merupakan yang ke-13 bagi tahun 2025.

BACA JUGA: MetMalaysia Keluar Nasihat Ribut Lekukan Tropika

Saintis memberi amaran bahawa ribut kini menjadi lebih kuat akibat perubahan iklim yang didorong manusia. Lautan yang semakin panas membolehkan taufan menguat dengan cepat, manakala atmosfera yang lebih panas menampung lebih banyak wap air, menyebabkan hujan turun lebih lebat.

Menurut jabatan meteorologi negara itu, taufan Kalmaegi yang bergerak pantas telah meluncur ke arah barat laut menuju Laos pada waktu pagi dengan kelajuan angin yang jauh melemah, namun hujan lebat masih diramalkan melanda sebahagian besar kawasan pantai tengah Vietnam.

Ribut itu seterusnya dijangka melanda Thailand, yang telah mengeluarkan amaran pada Jumaat bagi hujan lebat dan banjir bermula di wilayah timur laut sebelum merebak ke seluruh negara.

Sumber: AFP