Sakit kepala mungkin bukan perkara asing bagi kebanyakan kita.
Ada yang memilih untuk berehat, malah ada juga yang terus mencapai ubat tahan sakit dengan harapan rasa sakit itu akan reda.
Namun, bagaimana pula jika ketika sedang duduk santai, tiba-tiba kepala terasa seperti hendak pecah?
Dalam beberapa saat sahaja, kesakitannya memuncak sehingga terasa seperti sakit kepala paling teruk pernah dialami.
Jangan ambil mudah, lebih-lebih lagi jika sakit itu datang secara mengejut dan sangat berbeza daripada kebiasaan.
Walaupun masih boleh bercakap, berjalan atau rasa sakit mula berkurangan, keadaan itu tetap memerlukan pemeriksaan segera.
Kepala Rasa Nak Pecah, Takut Ini Yang Dialami
Keadaan yang dikenali sebagai thunderclap headache ini boleh menjadi petanda masalah serius, termasuk pendarahan di sekitar otak.
Jadi, apa sebenarnya sakit kepala ini dan mengapa ia tidak boleh diabaikan? Ikuti perkongsian Public Health Malaysia;
Bayangkan Sedang Duduk Santai, Tiba-Tiba Terasa Seperti Nak Pecah
Bukan sakit yang datang perlahan-lahan. Dalam beberapa saat, kesakitan terus memuncak. Teramat kuat, sampai tak pernah rasa sakit kepala seteruk itu sepanjang hidup.
Dalam dunia perubatan, keadaan ini dikenali sebagai Thunderclap Headache.
Namanya diambil daripada sifat sakit yang datang secara mengejut, seperti dentuman guruh.
Apa yang doktor paling bimbang?
Pendarahan di sekitar otak (subarachnoid haemorrhage), termasuk apabila salur darah yang membonjol (aneurysm) pecah.
Ada juga punca lain yang melibatkan salur darah otak.
Yang menakutkan, seseorang itu mungkin masih sedar, masih boleh bercakap dan berjalan seperti biasa.
Tiada muntah. Tiada lumpuh. Malah, sakit kepala mungkin mula berkurangan.
Tetapi itu tidak bermakna semuanya selamat.
Sebab itu, jika sakit kepala datang secara tiba-tiba, sangat kuat dan mencapai tahap maksimum dalam masa kurang seminit, terus dapatkan pemeriksaan di Jabatan Kecemasan.
Jangan tunggu esok. Jangan sekadar makan Panadol dan tidur dengan harapan sakit akan hilang.
Bukan semua thunderclap headache disebabkan pendarahan otak. Tetapi doktor perlu memastikan ia bukan sesuatu yang boleh mengancam nyawa.
Kadangkala, tanda awal sesuatu yang serius bukanlah seseorang rebah atau tidak sedarkan diri.
Ia mungkin bermula dengan satu sakit kepala yang luar biasa.
Kenali perbezaannya. Jangan abaikan
