Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Seorang pelajar Maahad Tahfiz Al-Fateh, Tengku Umayr 'Akef Tengku Asyraf, berjaya mencatat kejayaan membanggakan apabila menamatkan Syahadah Ula, satu pengiktirafan tertinggi dalam perjalanan menghafaz al-Quran di institusi tahfiz berkenaan.
Menerusi hantaran rasmi di laman Facebook Maahad Tahfiz Al-Fateh, kejayaan Tengku Umayr disambut penuh emosi dan syukur oleh pihak sekolah serta keluarganya.

“Bukan sebab dipaksa, tapi sebab alhamdulillah dibimbing dengan tepat. Hafazan Umayr lancar walaupun di rumah ibu ayah cuma bantu tasmik sekali-sekala.
"Begitulah kalam tenang bonda Umayr tadi, bukti ada kisah kesepaduan ibu bapa dan guru di sebalik kejayaannya.
"Ada sebuah rantaian tarbiah yang saling menguatkan demi melahirkan generasi al-Quran,” ujar maahad berkenaan.
Syahadah Ula menandakan bahawa seseorang pelajar telah menghafaz keseluruhan 30 juzuk al-Quran secara bersistem dan diuji secara rasmi oleh guru bertauliah, menjadikannya layak bergelar seorang hafiz yang diiktiraf.
Menurut Maahad Tahfiz Al-Fateh, saudara Tengku Umayr memperoleh keputusan penuh Mumtaz Ma’a Martabat Syarof dengan markah 97.7 peratus.
"Sejak jam 4.30 pagi hingga malam, akhirnya kejayaan buat semua. Alhamdulillah," kata maahad berkenaan lagi.
Difahamkan, Tengku Umayr menamatkan hafazan dalam tempoh 15 jam 42 minit sambil berdiri tanpa rehat.
"Tahniah ! Ini adalah pencapaian terbaik Syahadah Ula di Maahad Tahfiz Al Fateh setakat ini. Baik dari segi kelancarannya, bacaannya dan lain-lain," kongsi pengguna TikTok @syedmfirdaus
Menurut Madrasah Tahfiz Al-Quran Sidi Ibrahim Ar-Rashid, peringkat paling tinggi dikenali sebagai Syahadah Ula, yang turut disebut sebagai Syahadah Ulya.
Sebelum seseorang pelajar boleh mencapai tahap ini, mereka perlu terlebih dahulu melalui dua peringkat awal iaitu Syahadah Thalisah dan Syahadah Thaniah.
Syahadah Thalisah merupakan peringkat terendah dalam sistem Syahadah, yang memerlukan pelajar mengkhatamkan 30 juzuk al-Quran dalam tempoh tiga hari, dengan 10 juzuk dibaca setiap hari.
Seterusnya, Syahadah Thaniah pula mewajibkan pelajar membaca 15 juzuk al-Quran dalam masa satu hari.
Kedua-dua peringkat ini menjadi asas penting sebelum seseorang layak untuk menghadapi ujian Syahadah Ula dan menerima pengiktirafan rasmi sebagai hafiz al-Quran.
Hanya selepas lulus salah satu daripada ketiga-tiga peringkat ini, seseorang pelajar akan dianugerahkan Syahadah Hafazan Al-Quran secara rasmi.
Madrasah tersebut menegaskan bahawa bukan mudah untuk melepasi ketiga-tiga peringkat ini kerana ia memerlukan latihan, ujian serta bimbingan berterusan daripada guru supaya hafazan benar-benar lekat dalam ingatan dan sanubari pelajar