Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Tentera Darat Tangguh Latihan Bom Tangan, Siasatan Insiden Letupan Disegerakan - Mohamed Khaled

tentera darat
Kredit: Bernama

Tentera Darat Tangguh Latihan Bom Tangan, Siasatan Insiden Letupan Disegerakan - Mohamed Khaled

KOTA TINGGI, 21 Jun (Bernama) -- Tentera Darat Malaysia (TDM) telah menghentikan sementara semua latihan melibatkan penggunaan bom tangan susulan insiden letupan yang mengorbankan dua anggotanya semasa menjalani sesi latihan di Kem Hobart, Kedah, baru-baru ini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, arahan penangguhan itu berkuat kuasa serta-merta sehingga lembaga siasatan melengkapkan siasatan menyeluruh mengenai punca sebenar kejadian. Beliau berkata, langkah tersebut penting bagi membolehkan penilaian semula dibuat terhadap prosedur operasi standard (SOP) pengendalian senjata dan pengurusan latihan pasukan keselamatan itu.

"Kesan daripada insiden itu, pihak Tentera Darat telah mengeluarkan arahan untuk menangguhkan semua latihan yang melibatkan penggunaan bom tangan sehinggalah siasatan selesai. Kita mahu tahu mengapa keadaan itu boleh berlaku.

"Apa silap di situ, itu yang kena siasat. Mengikut garis panduan teknikal, apabila pin dicabut, ia mesti dibaling dalam tempoh masa tujuh saat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program pengisian minyak percuma di BHPetrol Felda Air Tawar 2, di sini, hari ini.

Mohamed Khaled berkata, beliau enggan membuat sebarang spekulasi awal mengenai punca kejadian dan memilih untuk menyerahkan sepenuhnya kepada proses siasatan.

Katanya, ruang lingkup siasatan akan merangkumi pelbagai aspek termasuk penilaian teknikal persenjataan serta keadaan emosi dan kesiapsiagaan anggota semasa latihan berlangsung.

"Saya tidak mahu membuat sebarang andaian, kita siasat dahulu. Apabila laporan siap, kita akan lihat di mana kelemahan untuk ditambah baik, termasuk melihat aspek keadaan anggota yang terlibat ketika latihan dijalankan.

"Saya telah meminta agar siasatan ini disegerakan dan laporan penuh diserahkan terus kepada saya sebaik sahaja ia selesai," katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga kedua-dua anggota tentera yang terkorban.

Pada 16 Jun lepas, dua anggota TDM iaitu Prebet Siti Khadijah Sungip, 24, dan Koperal Norazmi Abu Bakar, 40, disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani, Kedah akibat kecederaan parah susulan letupan berkenaan.