Seorang tentera laut Thailand muncul sebagai hero apabila berjaya menyelamatkan empat ekor kucing yang terkandas di atas sebuah bot yang terbakar di Laut Andaman dalam satu kejadian semalam.
Pada awalnya, bot pemancing Phamonsin Nava 10 yang dinaiki lapan kru itu dilapor terbakar sebelum karam.
Bertindak atas maklumat, pihak tentera laut Thailand segera ke lokasi kejadian bagi menyelamatkan kesemua kru bot tersebut.
Bagaimanapun ketika siasatan akhir dijalankan bagi mengesan tumpahan minyak, pihak tentera menyedari bahawa ada lagi ‘mangsa’ yang tertinggal, iaitu empat ekor kucing tersebut.


Wakil tentera, Thatsaphon Saii muncul selaku wira terjun segera ke laut bagi menyelamatkan keempat-empat kucing berkenaan.
Berdasarkan foto-foto yang diambil, kesemua makhluk comel itu kelihatan berpaut pada bahagian tepi kapal yang masih belum tenggelam.
Usai berjaya mendapatkan ‘mangsa-mangsa’ berkenaan, tiga daripada empat kucing itu dimasukkan ke dalam guni, manakala seekor lagi dibiarkan berpaut pada bahunya sebelum dibawa naik ke atas kapal penyelamat.
Dalam masa sama, kapal yang musnah terbakar itu akhirnya tenggelam perlahan-lahan dan kesemua mangsa termasuk kucing dibawa ke tempat selamat.
Tindakan pantas Thatsaphon menyelamatkan nyawa kucing itu mendapat perhatian media dan rakyat Thailand.




Sumber: BBC / Tuan Abam Cedric