Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

TERAJU Perkukuh Daya Saing Bumiputera Dalam Sektor Bernilai Tinggi Di Koridor Utara

TERAJU Perkukuh Daya Saing Bumiputera Dalam Sektor Bernilai Tinggi Di Koridor Utara

BUTTERWORTH, PULAU PINANG – Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) telah menganjurkan TERAJU Aspirasi Outreach Pulau Pinang 2026 sebuah platform libat urus strategik yang menghimpunkan komuniti perniagaan, usahawan serta syarikat Bumiputera dari Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Perak bagi mendapatkan akses kepada pelbagai peluang pembangunan dan pemerkasaan perniagaan pada 23 Jun 2026 (Selasa).

Majlis telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato' Dr. Mohamad bin Abdul Hamid, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, dan turut menampilkan ucapan dasar daripada Yang Berhormat Dato' Indera Mohd Shahar bin Abdullah, Timbalan Menteri Ekonomi.

Program telah menghimpunkan rakan strategik dan agensi bermandat Bumiputera merangkumi institusi kewangan, penyedia infrastruktur, badan kawal selia, agensi pembangunan bakat dan kemahiran, serta penyedia penyelesaian teknologi.

Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan TERAJU dalam memperkukuh pembangunan ekonomi Bumiputera di seluruh negeri melalui pendekatan yang lebih dekat, inklusif dan berfokus kepada keperluan komuniti perniagaan setempat.

Sebagai siri jelajah bagi wilayah utara, TERAJU Aspirasi Outreach Pulau Pinang 2026 memberi tumpuan kepada usaha memperluas capaian maklumat, meningkatkan kesedaran terhadap inisiatif pembangunan Syarikat Bumiputera dan menghubungkan mereka kepada peluang pertumbuhan yang mampu mempercepatkan pembangunan dan penskalaan perniagaan.

Encik Junady Nawawi, Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, berkata, "Komitmen TERAJU adalah membawa peluang pemerkasaan dan pembangunan ekonomi Bumiputera terus ke wilayah utara, bukan sekadar ke pusat.

Menerusi kerjasama strategik dengan pemain industri utama seperti MMC dan MRT Corp, kami membuka pintu akses yang lebih luas kepada pembiayaan, pembangunan kapasiti, dan pasaran sebenar untuk usahawan tempatan."

TERAJU turut membawa tiga program pembangunan strategik yang diperkenalkan pada awal tahun ini, iaitu ASCEND, ENHANCE dan XCELERATE.

Program-program ini dirangka khas untuk membantu syarikat Bumiputera meningkatkan kapasiti, memperkukuh daya saing serta mempercepatkan pertumbuhan dalam sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV).

Selain itu, TERAJU turut memperkenalkan Bumiputera Strategic Acquisition Fund (BSAF), iaitu inisiatif pembiayaan ekuiti dan program pemudahcaraan berstruktur yang direka untuk menyokong langkah korporat strategik syarikat Bumiputera berpotensi tinggi.

Inisiatif ini bertujuan untuk membantu syarikat berkembang ke peringkat seterusnya, termasuk persediaan ke arah penyenaraian di pasaran modal (Pre-IPO), penggabungan atau pengambilalihan strategik.

Kesemua inisiatif ini selaras dengan aspirasi Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35), yang menekankan pembangunan syarikat berprestasi tinggi, peningkatan produktiviti dan penciptaan nilai yang mampan.

Sebagai wilayah ekonomi utama yang merangkumi Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Perak, Koridor Utara memegang peranan penting melalui kekuatan sektor pembuatan, teknologi, perkhidmatan, agro-makanan, serta perdagangan.

Potensi serantau ini membuka peluang luas bagi syarikat Bumiputera tempatan untuk berkembang secara inklusif.

Di samping itu, inisiatif ini bertindak sebagai platform strategik untuk memperluas kesedaran tentang pelaksanaan PuTERA35, sekali gus menyokong sasaran Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) dan Kerangka Ekonomi MADANI.

PERTUKARAN PERJANJIAN PERSEFAHAMAN BERSAMA RAKAN STRATEGIK

Sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh ekosistem ekonomi Bumiputera, TERAJU telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama MMC Engineering Sdn. Bhd. (MMC) dan Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp).

Melalui kerjasama strategik ini, MMCE dan MRT Corp bertindak sebagai pemacu industri utama bagi membuka ruang kepada syarikat Bumiputera serta kontraktor-kontraktor berdaftar mereka untuk menembusi sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV) serta memperkukuh kedudukan dalam rantaian bekalan nasional.

Antara fokus utama kerjasama strategik yang dimeterai adalah:

• MMC Engineering Sdn. Bhd. (MMC): Memperkukuh penyertaan syarikat Bumiputera serta kontraktor berdaftar dalam ekosistem mereka menerusi akses kepada peluang perniagaan, pembangunan kapasiti, dan jaringan pasaran. Kolaborasi ini turut mempermudah akses kepada inisiatif pembiayaan TERAJU, termasuk Program Pembiayaan Modal Kerja Islamik (i-WCPF) dan Bumiputera Expansion and Catalyst Fund (BECF).

• Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp) Memperluas penglibatan syarikat Bumiputera serta kontraktor berdaftar dalam ekosistem pengangkutan rel melalui program pembiayaan, inisiatif pembangunan perusahaan, serta libat urus strategik bagi menyokong kelestarian perniagaan jangka panjang.

SESI PENYERAHAN PROJEK KOMUNITI DAN PEMBIAYAAN STRATEGIK

Majlis turut diserikan dengan sesi penyerahan projek di bawah Program Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera (DPUB) kepada Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menerusi inisiatif Producing Mushroom Using Optimal Humidity System – Driven For Community (Mushroom D4C).

Program berasaskan komuniti ini memfokuskan kepada pemindahan teknologi, latihan keusahawanan, dan penyediaan infrastruktur bagi membantu peserta menjana pendapatan tambahan melalui pengeluaran cendawan yang sistematik, yang dilaporkan telah menjana hasil keseluruhan melebihi RM1.7 juta.

Antara pencapaian utama projek termasuklah pembangunan produk hiliran burger cendawan, serta kejayaan memperoleh pensijilan MeSTI dan Halal bagi meningkatkan potensi pengkomersialan produk di pasaran terbuka.

Majlis turut menyaksikan penyerahan pembiayaan strategik kepada syarikat Bumiputera terpilih di bawah program Bumiputera Expansion and Catalyst Fund (BECF) dan Program Pembiayaan Modal Kerja Islamik (i-WCPF).

Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan TERAJU dalam memperluaskan akses kepada pembiayaan yang kompetitif bagi menyokong pertumbuhan, pengembangan dan peningkatan daya saing syarikat Bumiputera dalam sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi.

TERAJU Aspirasi Outreach Pulau Pinang 2026 terus berperanan sebagai platform libat urus strategik bersama kerajaan negeri, agensi pelaksana, dan komuniti perniagaan dalam memfokuskan agenda Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).

Menggalas mandat utama sebagai Super-Scaler, TERAJU komited untuk memperkukuh ekosistem usahawan melalui kolaborasi erat bersama agensi pembangunan ekonomi dan industri.

Langkah ini bertujuan untuk mempercepatkan pertumbuhan, penciptaan nilai, serta penskalaan perniagaan Bumiputera ke arah kesiapsiagaan pasaran modal, termasuk peringkat pra-IPO.

TENTANG UNIT PENERAJU AGENDA BUMIPUTERA (TERAJU)

Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) ialah agensi di bawah Kementerian Ekonomi yang bertanggungjawab menerajui, menyelaras dan memacu agenda pembangunan ekonomi Bumiputera selaras dengan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).