Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Terbitkan Lagu Terakhir “The Last Ride”, Penyanyi Rap Punjabi, Sidhu Moose Wala Maut Dibunuh

Nurul Nazihah
Sumber: BBC

Seorang pemuzik rap popular, Shubhdeep Singh Sidhu, 28, atau nama pentasnya Sidhu Moose Wala dikhabarkan terbunuh sehari selepas kawalan perlindungan yang diberikan kepadanya ditarik.

Sidhu Moose Wala, maut pada petang Ahad yang lalu ketika memandu keretanya di Mansa, sebuah daerah di Punjab. Mendiang telah dibawa ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Pegawai tertinggi polis negeri Punjab, VK Bhawra berkata, siasatan awal dijalankan oleh pihak berkuasa mendapati kejadian berkenaan berkemungkinan berpunca daripada persaingan antara dua kumpulan kongsi gelap.

Menurut laporan media tempatan, sehari sebelum serangan, kerajaan Punjab telah menarik perlindungan keselamatan untuk lebih 400 individu, termasuk Moose Wala, dalam usaha untuk mengekang budaya VIP.

Bermula sebagai pencipta lagu sebelum lagunya hit pada 2017 sekali gus melonjakkan kerjaya nyanyiannya, Moose Wala menjadi terkenal di kalangan penghijrah berbangsa Punjab dan India di beberapa negara termasuk UK dan Kanada.

Kebanyakan lagu yang dinyanyikan oleh mendiang mempunyai tajuk dalam Bahasa Inggeris walaupun ianya dinyanyikan di dalam bahasa Punjabi. Manakala, album sulungnya pada 2018 berjaya mencapai carta album Billboard Canada’s. Lagu terkini yang diterbitknya berjudul The Last Ride.

Mendiang bagaimanapun dipandang sebagai individu yang dibayangi kontroversi, sebahagiannya berpunca daripada lirik-lirik lagu yang dihasilkannya. Pada 2020, polis mendakwanya di bawah Akta Senjata Api India kerana didakwa mempromosikan budaya senjata api dalam salah satu lagunya.

Selain itu, mendiang pernah menyertai Parti Kongres India tahun lalu dan cubaanya bertanding dalam pilihanraya negeri berakhir dengan beliau tewas.

Ketua Menteri Punjab, Bhagwant Mann, berkata beliau terkejut dan sedih dengan berita tersebut, sambil menegaskan bahawa “tiada pesalah akan terlepas”.

Sumber: Theguardian