Terengganu mencatat kadar penglibatan dadah sebanyak 735 individu bagi setiap 100,000 penduduk, hampir dua kali ganda berbanding kadar nasional iaitu 381 individu bagi setiap 100,000 penduduk.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkembangan itu menunjukkan isu penyalahgunaan dadah di negeri berkenaan memerlukan perhatian serius serta tindakan bersepadu daripada semua pihak.
Katanya, usaha menangani masalah itu perlu membabitkan agensi penguatkuasaan, institusi pendidikan dan masyarakat setempat bagi memastikan langkah pencegahan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“Berdasarkan analisis Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), golongan berusia antara 15 hingga 30 tahun merupakan kumpulan paling ramai terlibat dengan penyalahgunaan dadah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Peluncuran Program Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI AADK Tahun 2026 di Dewan Nurul Ehsan, Felda Tenang, hari ini.
Menurut Saifuddin, golongan tidak bekerja mencatat penglibatan tertinggi, manakala individu berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan ke bawah merupakan kumpulan pendidikan yang paling ramai terlibat.
“Umur 15 hingga 30 tahun paling ramai. Umur produktif tetapi terjebak.
“Latar belakang pekerjaan yang tidak bekerja paling ramai terlibat. Kelulusan SPM ke bawah juga paling ramai terlibat,” katanya.
Jelasnya, dapatan itu perlu dijadikan asas untuk merangka pendekatan pencegahan yang lebih berkesan, khususnya bagi golongan muda yang berisiko terjerumus dalam penyalahgunaan dadah.
Katanya, hubungan antara pengangguran dengan penglibatan dadah juga perlu diberikan perhatian supaya usaha menanganinya tidak hanya tertumpu kepada penguatkuasaan, malah merangkumi aspek pendidikan dan peluang pekerjaan.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, Kelantan merupakan negeri kedua dengan kadar penglibatan dadah tertinggi, diikuti Kedah dan Perlis.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pihak supaya tidak bergerak secara berasingan kerana masalah berkenaan memerlukan kerjasama rentas agensi.
“Kita tidak boleh bergerak secara silo. Kita mesti turun padang, sampaikan maklumat dan berkongsi tanggungjawab.
“Kita tidak mahu mengambil sikap menafikan masalah. Mengaku dahulu kita ada masalah, kemudian barulah kita boleh mencari jalan untuk mengatasinya bersama-sama,” katanya.
Beliau turut menegaskan kerjasama antara polis dengan Kementerian Pendidikan (KPM) perlu diperkukuh melalui forum penyelarasan yang membabitkan ketua polis negeri, pengarah pendidikan negeri, ketua polis daerah dan pegawai pendidikan daerah.
Menurutnya, mesyuarat penyelarasan perlu dilaksanakan di peringkat negeri sebelum perbincangan diteruskan di peringkat pusat bagi memastikan isu penyalahgunaan dadah dapat ditangani secara menyeluruh.
Sementara itu, Saifuddin berkata, AADK mempunyai tiga tanggungjawab utama, iaitu mendidik masyarakat supaya menjauhi dadah, melaksanakan penguatkuasaan dan memulihkan individu yang terlibat.
“Berdasarkan rekod AADK, daripada setiap 100 individu yang mengikuti program pemulihan, 80 daripadanya berjaya dipulihkan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, pencapaian itu tidak seharusnya menyebabkan agensi berkenaan berpuas hati, sebaliknya perlu menjadi pemangkin untuk meningkatkan keberkesanan program pemulihan.
Katanya, usaha pemulihan juga perlu mengambil kira latar belakang keluarga dan persekitaran sosial individu terbabit, termasuk masalah rumah tangga yang berpotensi mendorong seseorang terjebak dengan dadah.
Selain itu, Saifuddin berkata, AADK turut mengumpulkan data daripada pelbagai sumber, termasuk Kementerian Kesihatan, Bahagian Narkotik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pusat pemulihan dadah swasta.
Jelasnya, data berkenaan penting bagi mengenal pasti corak penglibatan dadah serta membantu kerajaan merangka langkah pencegahan dan pemulihan berdasarkan maklumat yang tepat.

