Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Terengganu Negeri Paling Telus Urus Belanjawan Negeri 2026

Terengganu
Kredit: TRDI

Terengganu muncul sebagai negeri terbaik di Malaysia dari segi ketelusan belanjawan dalam Indeks Belanjawan Terbuka Malaysia (MyOBI) 2026 yang dilancarkan hari ini oleh Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS).

Menurut IDEAS dalam satu kenyataan, ia mencerminkan prestasi kukuhnya dalam aspek kebolehcapaian maklumat belanjawan kepada orang awam.

Sementara itu, Selangor pula menduduki tempat teratas dalam penilaian pemantauan legislatif, diikuti oleh Pulau Pinang dan Terengganu.

Terengganu Lebih Terperinci

Dalam dapatan laporan itu, IDEAS mendapati Terengganu menduduki tempat pertama secara keseluruhan dari segi ketelusan belanjawan, diikuti oleh Selangor dan Pulau Pinang. Pahang, mencatatkan peningkatan terbesar sejak penilaian tahun 2024;

Selain itu, Terengganu, Selangor dan Pulau Pinang mencatatkan prestasi pemantauan legislatif yang paling kukuh, manakala Perak merekodkan peningkatan terbesar sejak tahun 2024;

Disamping itu, tiada satu pun negeri yang menerbitkan set lengkap dokumen belanjawan penting tepat pada masanya, dengan RUU Perbekalan, Enakmen Perbekalan dan Laporan Akhir Tahun kekal sebagai antara dokumen yang paling sukar diakses;

Terakhir, ruang penglibatan awam dalam proses belanjawan negeri masih terhad di semua negeri.

Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Aira Azhari berkata, melihat sembilan negeri telah mencatatkan peningkatan dalam kebolehcapaian maklumat belanjawan kepada orang awam sejak penilaian yang lalu adalah amat menggalakkan, sekali gus menunjukkan bahawa kemajuan yang bermakna boleh dicapai.

Namun begitu, dapatan ini juga menunjukkan bahawa semua negeri masih mempunyai ruang untuk penambahbaikan.

Penerbitan maklumat belanjawan secara tepat pada masanya, pemantauan legislatif yang lebih kukuh dan penglibatan awam yang bermakna adalah penting untuk membina ketelusan dan kebertanggungjawaban yang lebih baik dalam proses belanjawan negeri.

“Ketelusan belanjawan merupakan asas kepada tadbir urus yang baik. Kesatuan Eropah berbangga dapat menyokong inisiatif seperti MyOBI yang memperkukuh kebertanggungjawaban awam dan menggalakkan perkongsian amalan terbaik antara negeri di Malaysia,” kata Stefan Wetzel, Atase – Pegawai Program, Delegasi Kesatuan Eropah ke Malaysia.

"IDEAS mengesyorkan agar kerajaan negeri menerbitkan dan mengarkibkan dokumen belanjawan terperinci secara tepat pada masanya, memperkukuh pelaporan mengenai pelaksanaan belanjawan dan hasil dasar, meningkatkan ketelusan dalam prosiding Dewan Undangan Negeri, serta mewujudkan mekanisme rasmi perundingan prabelanjawan, termasuk portal perundingan awam, soal selidik dan tinjauan pendapat awam yang mudah diakses.

"Penilaian MyOBI 2026 dilaksanakan melalui rangkaian penyelidik sukarelawan di seluruh negara dengan menggunakan metodologi yang diseragamkan. Dapatan kajian telah melalui proses semakan pewasitan setara bebas dan dikongsikan dengan semua kerajaan negeri sebelum penerbitannya.

"Walaupun sembilan negeri mencatatkan peningkatan dalam kebolehcapaian maklumat belanjawan kepada orang awam dan tujuh negeri memperkukuh pemantauan legislatif sejak penilaian terdahulu, jurang yang ketara masih wujud, dengan tiada satu pun negeri menerbitkan set lengkap dokumen belanjawan penting tepat pada masanya berdasarkan penanda aras yang ditetapkan.

"Dibangunkan dengan sokongan Delegasi Kesatuan Eropah ke Malaysia dan dilaksanakan melalui kerjasama dengan rakan organisasi masyarakat sivil (CSO) di seluruh Malaysia, MyOBI 2026 menilai ketelusan belanjawan di kesemua 13 negeri dengan mengukur kebolehcapaian maklumat belanjawan kepada orang awam, pemantauan legislatif oleh Dewan Undangan Negeri (DUN), serta ruang penglibatan awam dalam proses belanjawan.

"Edisi 2026 memperkenalkan semakan metodologi paling ketara sejak Indeks ini dilancarkan pada tahun 2019, dengan menggunakan adaptasi daripada penandaarasan Open Budget Survey kelolaan International Budget Partnership yang diiktiraf di peringkat dunia bagi menyediakan penilaian yang lebih menyeluruh.

"Walaupun sembilan negeri menunjukkan peningkatan ketara dalam kebolehcapaian maklumat belanjawan kepada orang awam, metodologi yang lebih ketat yang dilaksanakan pada tahun ini menyebabkan sembilan negeri mencatatkan skor yang lebih rendah.

"Ia sekali gus menunjukkan perlunya berhati-hati apabila membuat perbandingan secara langsung dengan keputusan tahun 2024," maklum kenyataan itu.

Sumber:IDEAS
Intipati
  • Terengganu mendahului MyOBI 2026 bagi ketelusan belanjawan negeri, diikuti Selangor dan Pulau Pinang.
  • Selangor mengetuai penilaian pemantauan legislatif, manakala Pahang mencatat peningkatan ketelusan terbesar sejak 2024.
  • IDEAS berkata semua negeri masih belum menerbitkan dokumen belanjawan penting lengkap tepat pada masanya.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan