Terkena Bola, Tindakan Pemain Beri CPR Kepada Burung Camar Dipuji Ramai
Sebagai manusia, kita sentiasa diseru untuk melakukan kebaikan terhadap semua makhluk termasuk haiwan.
Kadang kala kita tidak sedar sekecil-kecil kebaikan yang dilakukan sebenarnya memberikan impak yang besar kepada kehidupan di dunia ini.
Baru-baru ini, tular satu kejadian yang menyentuh hati ramai apabila seorang pemain bola sepak bertindak memberikan bantuan kecemasan CPR kepada seekor burung camar yang terkena bola ketika satu perlawanan di Istanbul.
Insiden itu berlaku apabila burung camar yang terbang rendah memasuki laluan sepakan buang bola oleh penjaga gol Istanbul Yurdum Spor dalam perlawanan playoff amatur menentang Mevlanakapi Guzelhisar.
Selepas burung itu terhempas ke tanah, kapten Istanbul Yurdum Spor bergegas ke arahnya dan mula melakukan CPR secara asas dengan menekan bahagian rusuk burung tersebut.
“Ada sesuatu jatuh dan saya sedar ia seekor burung camar. Perkara pertama yang terlintas di fikiran saya ialah urutan jantung, kerana ia tidak dapat bernafas, jadi saya cuba sedaya upaya,” kata pemain itu, Gani Catan.
Apabila burung itu mula bernafas, Catan mengangkatnya keluar dari padang dan menyerahkannya kepada petugas perubatan untuk rawatan lanjut.
Pengulas perlawanan, Onur Ozsoy, turut memberi reaksi spontan.
“Mereka sedang melakukan tekanan dada ke atas burung camar sekarang. Ini adalah detik yang jarang berlaku dalam sejarah bola sepak. Burung camar itu dibawa keluar dan dibawa ke tepi padang bersama beg perubatan untuk rawatan lanjut.” katanya.
Burung camar tersebut dilaporkan mengalami kecederaan pada sayap, namun keadaan lanjutnya selepas perlawanan masih belum diketahui.
Sementara itu, pasukan Catan tetap tewas dan tersingkir daripada playoff. Namun kekalahan itu tidak mematahkan semangatnya.
“Kami terlepas kejuaraan, tetapi dapat membantu menyelamatkan satu nyawa adalah sesuatu yang sangat bermakna. Itu lebih penting daripada kejuaraan,” katanya.
