Popular kerana fizikalnya yang gagah, kanggaru bernama Whiskers dilaporkan maut selepas dilanggar kereta di sebuah bandar di Victoria, Australia.
Menurut Daily Mail, haiwan yang disayangi ramai penduduk setempat itu ditemui mati di atas jalan berhampiran taman yang menjadi lokasi kegemarannya.
“Seluruh keluarga saya sayangkan kanggaru ini dan hanya ibu bapa saya pernah bertemu dengannya. Sayangnya, bapa saya menemukan haiwan itu telah mati dilanggar,” kata salah seorang penduduk, Tracey Wilson.
Ujarnya, haiwan setinggi enam kaki itu sering memunculkan diri di taman berhampiran untuk ‘bertemu’ dengan pengunjung. Biarpun bersaiz besar, ia dikatakan tidak ganas, membuatkannya digelar ‘gentle giant‘ oleh penduduk setempat.
Malah, Whiskers juga dilihat sering berjemur setiap hari ketika musim panas tiba.

“Ada hari ia akan duduk senyap sahaja berjemur di taman sepanjang hari. Ibu saya beritahu, ada masanya akan ada kanggaru lain muncul di sana bersama, kononnya mereka kekasih si Whiskers.”
Bapa wanita itu telah menemui jasad kanggaru malang itu di zon halaju 50km/j.
“Saya tak faham bagaimana kanggaru sebesar itu boleh dilanggar dan cedera teruk sehingga mati,” kata Tracey.
“Ia akan dirindui penduduk di sini,” tambahnya.
Setakat ini, tiada individu yang dilaporkan tampil mengaku bertanggungjawab.

Menurut Daily Mail, kanggaru boleh membesar sehingga tiga meter tinggi dan berat 100 kilogram. Manusia merupakan ancaman terbesar kepada haiwan itu melalui pemburuan dan kemalangan kenderaan.
