Bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Datuk Patinggi Abang Haji Mohammad Salahuddin Abang Barieng meninggal dunia.
Menurut menantu, Wan Ibrahim Omar memaklumkan bahawa Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun di Pusat Perubatan Normah, Kuching 11.47 malam tadi.
Jenazah bakal disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Semariang esok.
Tun Salahuddin lahir pada 27 Ogos 1921, menjadi Yang di-Pertua Negeri Sarawak dari 1977 hingga 1981, dan sekali lagi dari 2001 hingga 2014. Allahyarham merupakan orang pertama yang berkhidmat sebagai Yang di-Pertua Negeri sebanyak dua kali.
Pada tahun 2000, Allahyarham menjadi Pemangku TYT kerana TYT ketika itu Tun Datuk Patinggi Ahmad Zaidi Adruce sakit.
Tun Ahmad Zaidi Adruce meninggal dunia pada Disember 2000, dan Tun Salahuddin dilantik semula secara tetap ke jawatan TYT pada Februari 2001 dan penggalnya secara rasmi berakhir 28 Februari 2014.
Semoga Allah merahmati roh Allahyarham serta menempatkannya di kalangan para solehin. Al-Fatihah.
Sumber: Bernama
