Parlimen Rusia bersetuju dengan permintaan Vladimir Putin untuk mengarahkan pasukan tenteranya ke luar negara. Ia didakwa sebagai salah satu langkah persedian untuk melancarkan operasi ketenteraan skala penuh ke atas Ukraine.
Kelulusan itu diberi selepas Putin menghantar sepucuk surat kepada Parlimen bagi meminta kebenaran bagi menjadikan sebarang pergerakan angkatan tentera negara itu sebagai urusan rasmi.
Menurut laporan Independent UK, kelulusan yang diberi adalah berkuatkuasa serta merta. Keputusan berkenaan juga dilapor dibuat selepas beberapa jam Amerika Syarikat mendakwa pencerobohan Rusia ke atas Ukraine telah bermula.
Kebenaran yang diperolehi oleh Putin ini dianggap satu lagi perkembangan penting di Eropah yang mana ia dikatakan boleh membawa kepada tercetusnya perang di benua tersebut.
Terdahulu, Putin juga telah mengiktiraf keputusan pengisytiharan kemerdekaan dua wilayah Ukraine, Donetsk dan Luhanks yang mana ianya dikuasai oleh kumpulan pemisah pro-Rusia.
Pada 2014, Rusia menceroboh wilayah Crimea, juga di Ukraine dan menguasainya hingga ke hari ini.
Sumber: Independent.uk