Sebagai umat Islam, kita diwajibkan untuk menunaikan solat lima waktu seperti yang telah diperintahkan oleh Allah SWT.
Walau di mana sahaja kita berada, solat merupakan ibadah utama yang perlu ditunaikan selagi tiada keuzuran yang menghalang.
Bagaimanapun, kadangkala boleh berlaku kekhilafan ketika menunaikan solat, terutama apabila berada di negara lain.
Bayangkan kita melancong atau merantau ke luar negara, tetapi masih menggunakan waktu solat negara asal.
Selepas beberapa hari, barulah kita menyedari bahawa waktu solat yang digunakan selama ini sebenarnya tersilap. Persoalannya, adakah solat yang telah dilakukan itu sah?
Soalan tersebut pada awalnya diajukan oleh pelakon dan pengacara, Janna Nick yang berdepan situasi itu baru-baru ini.

Bagi mengetahui jawapannya, ikuti perkongsian Bahagian Dakwah JAKIM di bawah.
TERSALAH LOCATION MASA TRAVEL, SOLAT 3 HARI IKUT WAKTU YANG SALAH. KENA QADA SEMUA KE?
Bayangkan kita baru sampai negara orang. Penat travel, sampai hotel terus nak solat. Kita buka aplikasi waktu solat, tengok waktu dan terus solat.
Esoknya kita buat perkara yang sama.
Lusa pun sama.
Hari keempat baru tersedar, “Eh, aku lupa tukar location dalam aplikasi!”
Rupanya selama tiga hari, aplikasi masih menggunakan waktu negara lama. Terus rasa berdebar. “Habis solat aku selama ni macam mana? Kena qada semua ke?”
Persoalan ini nampak kecil, tetapi sebenarnya penting kerana solat mempunyai waktu yang telah ditetapkan.
Allah SWT berfirman:
إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَّوْقُوتًا
Maksudnya: “Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.”
[Surah al-Nisa: 103]
Maksud mudahnya, solat perlu dilakukan selepas masuk waktunya.
Sebab itu, kalau seseorang sengaja solat sebelum masuk waktu, perkara tersebut sangat serius.
Imam Ibn Hajar al-Haitami menyimpulkan bahawa SENGAJA mengawalkan solat daripada waktunya termasuk dosa besar, walaupun selepas itu solat tersebut diqada.
[Rujuk Al-Zawajir `An Iqtiraf al-Kabair (1/228).]
Tetapi bagaimana pula kalau kita memang TERSILAP?
Contohnya, kita tengok aplikasi waktu solat dan yakin waktunya sudah masuk. Kita pun solat. Kemudian baru tahu aplikasi itu masih menggunakan lokasi negara lama.
Dalam keadaan seperti ini, ia perlu dilihat sebagai KESILAPAN YANG TIDAK DISENGAJAKAN.
Di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji (1/276) menyebut:
“Apabila ternyata solat seseorang berlaku sebelum masuk waktu, solatnya dianggap batal dan wajib mengulanginya sama ada dia berpegang kepada keyakinannya, ijtihadnya atau taqlid.”
Syeikh Muhammad al-Zuhaili pula menyatakan:
“Sesiapa yang meyakini perlaksanaan sembahyang terjadi sebelum waktunya, atau terjadi sebahagiannya walaupun takbiratul ihram, atau diberitahu orang yang dipercayai, dan diketahui yang demikian dalam waktu atau sebelumnya, maka wajib mengulanginya, dan jika diketahui setelah berakhir waktu, maka wajib diqadha, walaupun hilang syaratnya iaitu waktu, dan tidak ada dosa baginya kerana keuzuran.”
[Lihat al-Mu’tamad (1/164).]
Malah, terdapat perbahasan ulama mengenai seseorang yang tersilap menentukan waktu Subuh bukan selama 3 HARI, tapi tersilap 20 TAHUN. Syeikh Syahuddin al-Ramli menukilkan fatwa Imam al-Barizi tentang seorang lelaki yang tersilap dalam penentuan fajar kemudian solat Subuh ketika fajar kazib.
Imam al-Barizi menjawab:
“Tidak wajib keatasnya melainkan sekali sahaja solat gantinya, kerana solatnya setiap hari adalah ganti pada solat bagi hari-hari sebelum,”
[Lihat dalam Nihayah al-Muhtaj (1/454), Hasyiah Jamal (1/334), Hasyiah al-Bujairimi (1/454), dan Nihayah al-Zain (ms. 56).]
Jadi, kalau seseorang travel ke negara lain dan terlupa menukar location aplikasi sehingga solat beberapa hari dilakukan pada waktu yang salah, jangan terus panik dan fikir semuanya perlu diqada satu persatu. TAK PERLU.
Hukum Ganti Solat Fardu Dalam Solat Tarawih Berjemaah
Hukum Kerjakan Solat Sunat Tarawih Tetapi Ada Solat Fardu Belum Diqada, Ini Huraian Mufti
Mufti WP Jelaskan Hukum Solat Qada Bagi Wanita Alami Istihadah Berterusan
Hukum Solat Dalam Keadaan Melipat Lengan Pakaian, Ini Penjelasan Mufti
Mufti WP Jelaskan Hukum Solat Jumaat Jika Aidilfitri Jatuh Pada Hari Jumaat
Berdasarkan fakta dan keterangan yang kami kongsikan, sekiranya telah dipastikan bahawa seseorang itu tersilap dan menunaikan solat lebih awal daripada waktunya, kerana tersalah menentukan waktu, maka wajib ke atasnya untuk menggantikan solat itu SEKALI SAHAJA untuk solat hari yang terakhir, kerana dia telah melakukan qada bagi hari pertama pada hari kedua dan seterusnya.
Kesimpulannya, ada beza antara sengaja dan tersilap.
Kalau SENGAJA solat sebelum masuk waktu, itu memang serius kena ganti. Tetapi kalau BENAR-BENAR TERSILAP kerana menyangka waktu sudah masuk, maka ada keuzuran dan perincian hukum.
Jadi, kalau travel ke negara lain, kita mungkin sibuk ingat passport, tiket, hotel, roaming dan Google Maps. Jangan lupa satu lagi, tukar location aplikasi waktu solat ye.
Dan kalau suatu hari kita tersilap, jangan terus gelabah. Semak apa yang berlaku, fahamkan hukum, qada apa yang perlu dan teruskan ibadah.
Yang penting, teliti dalam solat dan jangan biarkan kesilapan membawa kita kepada waswas.
So, bukanlah awak berada di titik terendah. Cuma perlu qada hari terakhir saja. Bagus juga terjadi kes macam ni. Boleh sama-sama kita belajar daripadanya.
