Agensi Meteorologi Jepun (JMA) menarik balik amaran gempa bumi bermagnitud 9.9 yang dikeluarkan secara tidak sengaja hanya beberapa minit selepas ia disebarkan, lapor AFP.
Pihaknya juga memohon maaf atas kesilapan yang menyebabkan gangguan terhadap perkhidmatan pengangkutan awam.
Pada Jumaat, JMA pada mulanya mengeluarkan amaran bahawa gempa bumi bermagnitud 9.9 telah berlaku berhampiran Kepulauan Kuril, yang dikenali sebagai Kepulauan Chishima di Jepun.
Tersilap keluarkan amaran gempa
Amaran tersebut menyebabkan berjuta-juta telefon bimbit mengeluarkan bunyi amaran kecemasan yang kuat.
Bagaimanapun, JMA kemudian menjelaskan bahawa gempa bumi sebenar yang berlaku adalah bermagnitud 6.9, berdekatan Semenanjung Kamchatka, Rusia, pada kedalaman 160 kilometer sejurus selepas tengah hari.
“Kami memohon maaf yang sebesar-besarnya atas kesulitan dan kebimbangan yang ditimbulkan kepada orang ramai,” kata pegawai JMA, Shinya Tsukada kepada pemberita.
Walaupun amaran itu tidak mencetuskan panik secara meluas, ia menyebabkan gangguan sementara terhadap perkhidmatan pengangkutan awam.
Kesilapan berpunca daripada pengiraan pusat gempa
Menurut JMA, kesilapan tersebut berpunca daripada masalah dalam pengiraan lokasi pusat gempa bumi.
Agensi itu menjelaskan bahawa anggaran magnitud yang dikeluarkan pada awalnya dibuat berdasarkan andaian yang salah mengenai kedudukan pusat gempa.

Lokasi pusat gempa dianggarkan berada kira-kira 680 kilometer lebih jauh dari Jepun berbanding kedudukan sebenar.
Jepun masih dibayangi tragedi gempa bumi dasar laut bermagnitud 9.0 yang melanda negara itu pada 2011.
Gempa bumi dahsyat tersebut mencetuskan tsunami yang mengorbankan atau menyebabkan kira-kira 18,500 orang dilaporkan hilang, selain mengakibatkan kerosakan besar terhadap loji tenaga nuklear Fukushima.
Menurut laporan media tempatan, gempa bumi bermagnitud 9.9 mampu membebaskan tenaga kira-kira 22 kali ganda lebih besar berbanding gempa bumi yang melanda Jepun pada 2011.


