Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Thailand Rekod 107,570 Kes Influenza, 9 Kematian Setakat Ini

Gambar: AFP

Thailand Rekod 107,570 Kes Influenza, 9 Kematian Setakat Ini

Thailand merekodkan 107,570 kes influenza setakat ini bagi tahun 2025, lapor The Straits Times.

Menurut Kementerian Kesihatan Awam Thailand dalam satu kenyataan yang diterbitkan pada 18 Februari, sebanyak 9 kematian turut dicatatkan bagi tempon berkenaan.

Jurucakap Jabatan Kawalan Penyakit, Dr Jurai Wongsawat berkata, hampir 15,000 pesakit baru diterima setiap minggu pada 2025 berbanding 10,000 pesakit bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Kanak-kanak berusia lima hingga sembilan tahun merupakan kelompok yang mencatatkan jumlah jangkitan tertinggi.

Jumlah ini diikuti kanak-kanak bawah empat tahun dan mereka yang berusia antara 10 hingga 14 tahun.

Tambah Dr Jurai, strain paling biasa yang ditemui dalam virus itu adalah A/H1N1 (2009).

107,570 kes influenza dicatatkan di Thailand dengan 9 kematian setakat ini

Manakala sembilan kematian yang dicatatkan itu melibatkan mangsa paling muda berusia 11 tahun, dengan yang paling tua berusia 86 tahun.

Menurut Dr Jurai lagi, semua mangsa yang maut sudah mendapatkan vaksin influenza sebelum ini.

Berdasarkan data yang diperolehi, 10 wilayah dengan kes tertinggi telah dikenal pasti iaitu melibatkan Phayao, Lamphun, Chiang Rai, Phuket, Chiang Mai, Lampang, Bangkok, Nan, Ubon Ratchathani dan Nonthaburi.

Rekod turut menunjukkan kawasan sekolah, penjara dan kem tentera merupakan lokasi dengan kadar jangkitan tertinggi.

Beliau menambah, tren kes influenza sudahpun meningkat setiap tahun terutamanya apabila pelonggaran langkah-langkah pencegahan pandemik Covid-19 dilaksanakan.

Selain itu, faktor persekitaran turut memainkan peranan penting terutamanya pada tahun 2024.

Keadaan cuaca sejuk berpanjangan sepanjang tahun tersebut menyaksikan berlaku peningkatan laporan penyakit berkaitan pernafasan.

“Statistik menunjukkan influenza tersebar lebih pantas dalam kalangan kanak-kanak.

“Oleh itu, dinasihatkan agar pihak sekolah mengetatkan langkah-langkah pencegahan bagi mengekang penularan influenza.

“Jika ada kanak-kanak yang didiagnosis mengalami influenza, kanak-kanak tersebut perlu kekal di rumah sekurang-kurangnya tiga hingga lima hari bagi mengelak penularan berlaku,” katanya.

Orang ramai turut dinasihatkan agar mendapatkan vaksin influenza setiap tahun, terutamanya bagi mereka yang tergolong dalam kategori berisiko tinggi.

Mereka termasuk kanak-kanak berusia enam bulan hingga dua tahun, wanita hamil dan warga emas berusia lebih 65 tahun.

Dr Jurai turut menyebut bahawa individu obes dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan yang kronik turut termasuk dalam kategori berisiko tinggi.

BACA: Vaksin Influenza Percuma Untuk Warga Emas Di Melaka Bermula Hari Ini

Sumber: The Straits Times