Acara bebas karbon terbesar di Malaysia meneruskan matlamatnya untuk menggalakkan amalan gaya hidup yang sihat dan lestari
Seramai 20,000 peserta berkumpul untuk mengambil bahagian dalam acara larian, The Music Run by CIMB di Technology Park Malaysia (TPM), Bukit Jalil. Dengan kembalinya Kumpulan CIMB (CIMB) sebagai Rakan Penaja Utama buat kali kedua, The Music Run by CIMB meneruskan misinya dalam memacu inovasi kelestarian untuk menghasilkan kesan positif yang berterusan ke atas alam sekitar, ekonomi dan masyarakat sejagat.
Acara tahun ini dianjurkan dengan kerjasama YTL-SV Carbon, yang telah berjaya dalam usaha mengimbangi pelepasan CO2 melalui pemantauan rapi dan pengesanan pelepasan gas rumah hijau (GHG) daripada pelbagai inisiatif kelestarian, menjadikannya acara neutral karbon terbesar di Malaysia.
Dengan falsafah Live The Beat, The Music Run by CIMB menggalakkan para peserta untuk menikmati kehidupan di masa kini sepenuhnya serta mengamalkan gaya hidup yang lebih aktif untuk kesejahteraan fizikal dan mental, dan memainkan peranan bersama untuk menjamin masa depan yang lestari.
“Kami berbesar hati untuk membawakan kembali The Music Run by CIMB, sebuah acara unik yang menghubungkan orang ramai dengan minat yang sama, iaitu larian dengan muzik. Selain itu, sebagai sebuah kumpulan syarikat yang berwawasan, kami juga memahami kepentingan untuk menerapkan kelestarian dalam semua usaha kami untuk menghasilkan kesan positif dalam ekosistem perniagaan, dan juga komuniti.
“Acara itu dapat menzahirkan perkara tersebut melalui pelbagai inisiatif di lapangan untuk meningkatkan lagi amalan kelestarian terbaik dalam kehidupan seharian kita semua. Kami berharap agar para peserta larian dapat menikmati acara itu dan menjadikannya satu pengalaman yang sukar dilupakan, sambil melakukan tanggungjawab mereka untuk memanfaatkan oleh generasi akan datang,” kata Dato’ Abdul Rahman Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB.

“Para peserta sememangnya tidak sabar untuk kembali selepas tiga tahun. Ini dapat disaksikan melalui penjualan tiket yang memecahkan rekod, yang mana lebih 6,000 tiket telah dijual dalam tempoh 24 jam pertama! Tahun ini, kami dapat menyaksikan dengan ketara bagaimana orang ramai dan pelari tegar daripada pelbagai latar belakang bersatu di bawah paksi kelestarian,” kata Callum Meehan, Pengarah Acara Fresh Events Asia.
Jeffrey Ross, Pengurus Besar Fresh Events Asia, menambah, “Kami amat gembira dengan kehadiran sebegitu ramai anak muda Malaysia di acara ini yang menggalakkan gaya hidup lestari. The Music Run by CIMB dikenali juga sebagai Pesta Yang Paling Cergas di Asia (Asia’s Fittest Party) dan setiap peserta pastinya akan menuruti semangat acara ini sambil bersuka ria! Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada CIMB kerana sudi untuk bekerjasama dengan kami sekali lagi bagi menghasilkan pengalaman yang menakjubkan ini. Kami tidak sabar untuk mengalu-alukan kehadiran semua pada tahun 2023 nanti!”
Acara larian yang disuntik dengan irama muzik ini terkenal dengan runut bunyi yang dipancarkan melalui lebih 100 buah pembesar suara di sepanjang trek larian sejauh 5KM, di mana 20,000 peserta melepasi garisan penamat. Larian tersebut diakhiri dengan pesta Live The Beat yang bertenaga, yang nyata merupakan sebuah parti unik yang menawarkan pengalaman berpesta yang menyeronokkan, selamat dan sihat kepada semua. Pentas yang berukuran 2100 kaki persegi mengalu-alukan kembali penghibur antarabangsa Sam Withers dan Jesse Lawrence dari Australia, serta artis-artis tempatan yang sedang meningkat seperti Saint Kylo, Airliftz dan Aida Azrin.
Juara larian kategori bermasa (Timed Run) wanita, Penny Loh berkata, “Ini adalah kali pertama saya menyertai The Music Run by CIMB. Sebagai seorang pelari tegar, saya amat bangga dengan pencapaian saya ini di tempat pertama. Acara The Music Run adalah satu pengalaman yang menyeronokkan dan sangat unik.
“Semarak tenaga daripada irama muzik yang dipancarkan daripada pembesar suara di trek dan juga rakan-rakan pelari menjadi pembakar semangat kepada saya. Tahniah saya ucapkan kepada semua peserta yang mengambil bahagian dalam The Music Run by CIMB tahun ini dan saya tidak sabar untuk menantikan edisi yang seterusnya!”

Diilhamkan daripada maskot bank mereka – Octo – CIMB telah mencipta OctoCity, dalam bentuk permainan papan Monopoli bersaiz sebenar yang menyediakan aktiviti kelestarian yang imersif untuk para peserta di setiap stesen. Bermula di stesen “GO”, para peserta berpeluang untuk mengunjungi OctoPark, OctoBoutique, OctoKitchen, OctoWall, OctoField dan OctoShop sebelum tiba di Food Village.
CIMB mengenali kepentingan untuk mengamalkan cara hidup yang lestari dalam semua aspek kehidupan. The Music Run by CIMB telah bekerjasama dengan ASASRAMA, sebuah syarikat pengeluar plastik boleh diperbaharui untuk mengumpul semua plastik yang boleh dikitar semula daripada acara ini untuk diproses dan digunakan semula menjadi pelet resin berkualiti tinggi. Selain itu, fesyen juga memainkan peranan dalam gaya hidup lestari melalui amalan penggunaan dan pengeluaran pakaian fesyen yang bertanggungjawab. Di OctoBoutique, beberapa jenama fesyen seperti Kloth Circularity, Snugswear dan Kualesa telah memperagakan pakaian yang diperbuat daripada tekstil mampan untuk meminimumkan kesan terhadap alam sekitar dan mengimbangi pelepasan karbon.
Dalam usaha mengurangkan pembaziran makanan dan membantu mereka yang memerlukan, peserta juga berpeluang untuk mengumpul dana melalui platform, Simply Giving untuk memanfaatkan empat pertubuhan bukan berasaskan keuntungan (NGO), iaitu Food Aid Foundation, Kechara Soup Kitchen, Kembara Kitchen, dan The Lost Food Project. Selain itu, CIMB Foundation turut komited untuk menyumbangkan RM200,000 kepada empat NGO terlibat bagi menyokong usaha tersebut. Usaha ini juga turut disokong oleh GroundControl, yang mengagihkan semula dan mengompos semua sisa makanan daripada acara tersebut.
Untuk maklumat lanjut mengenai The Music Run, sila layari www.themusicrun.com.my.
