Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Tiada Caj Suntikan Vaksin COVID Di Fasiliti Swasta Terlibat Program Imunisasi

Gambar: Bernama

PUTRAJAYA, 15 Mac (Bernama) — Individu yang mendapat temu janji suntikan vaksin COVID-19 di hospital atau klinik swasta yang terlibat dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan tidak perlu membayar sebarang caj, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.

“Caj tersebut ditanggung oleh kerajaan,” katanya dalam sidang media mengenai perkembangan program imunisasi itu, di sini hari ini.

Memperincikan perkara itu, Khairy berkata Pusat Pemberian Vaksin (PPV) COVID-19 ditetapkan berdasarkan kepada alamat yang didaftarkan individu melalui aplikasi MySejahtera.

“Kalau pusat suntikan vaksin yang berhampiran dengan alamat yang diberikan adalah hospital swasta maka mereka akan ke hospital swasta. (Semuanya) berdasarkan lokasi sebab kami mahu memudahkan program imunisasi ini,” katanya.

Mengenai perkembangan skim darurat iaitu Tabung Mudarat Vaksinasi Kebangsaan bagi pembayaran pampasan kepada mereka yang menghadapi kesan sampingan selepas suntikan vaksin COVID-19, Khairy berkata perkara itu akan dibincangkan Rabu ini dalam mesyuarat Kabinet dan keputusannnya dijangka diumumkan Isnin depan.

Sumber: BERNAMA