Lisandro Martinez menganggap keputusan pengadil membenarkan gol kemenangan Manchester United dalam aksi derby pagi tadi sebagai satu bentuk “ketidakadilan”.
Manchester City yang bermain 10 orang untuk sebahagian besar perlawanan selepas Phil Foden dilayankan kad pada minit ke-23, menang 1-0 menerusi jaringan tunggal oleh Erling Haaland pada separuh masa kedua perlawanan.
Jaringan berkenaan dicemari kontroversi selepas pada awalnya dibatalkan kerana pengadil mendapati Haaland berada pada kedudukan offside.
Campur tangan video bantuan pengadil (VAR) kemudian menukar keputusan padang oleh pengadil dengan mengesahkan jaringan tersebut selepas semakan mendapati posisi Patrick Dorgo dalam situasi itu telah meletakkan Haaland berada di kedudukan onside.
Pertahanan Man United, Lisandro Martinez tak terima keputusan pengadil benarkan gol Haaland
Bagaimanapun, tindakan rakan sepasukan Haaland iaitu Enzo Fernandez yang berada dalam kedudukan offside dan cuba memainkan bola di hadapan Martinez menjadi punca pertahanan Manchester United itu kecewa dengan keputusan pengadil.
“Saya fikir (jaringan) itu offside. Apa yang saya tidak faham adalah peraturannya. Fernandez berada di sana dan saya menuju ke arahnya. Dia berada di depan saya. Sebab itulah Haaland bebas di bahagian belakang.
“Setiap musim pengadil akan datang kepada kami menjelaskan tentang peraturan ini selama sejam atau satu jam setengah. Mereka nampak begitu yakin dengan peraturan itu.
“Kemudian, lima enam orang boleh buat kesilapan seperti ini dalam Liga Perdana Inggeris. Ia tidak boleh diterima.
“Ini adalah liga bola sepak terbaik di dunia, ada pasukan terbaik di dunia, ada pemain terbaik di dunia. Tetapi sekarang, kami perlu pulang dengan ketidakadilan ini,” katanya dalam temu bual selepas perlawanan.
Kekecewaan yang sama juga turut dikongsi oleh pengendali United, Michael Carrick yang menganggap keputusan pengadil sebagai satu kesilapan yang jelas.
Menurut Carrick, beliau dimaklumkan oleh pengadil perlawanan, Michael Oliver bahawa Fernandez tidak mengganggu permainan dalam situasi gol yang dijaringkan oleh Haaland.
Bagaimanapun, Carrick tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan dan menegaskan tindakan Fernandez dalam situasi tersebut mempunyai impak yang cukup untuk gol itu dibatalkan.
“Penjelasan yang saya terima ialah dia tidak mengganggu permainan, jadi saya benar-benar tidak faham.
“Saya tidak faham bagaimana mereka cuba membantu pengadil dengan begitu banyak lapisan sokongan di belakang mereka. Ada begitu ramai individu, begitu banyak skrin dan pelbagai bilik operasi, semuanya untuk membantu mendapatkan keputusan yang tepat.
“Fernandez meluru ke arah bola, kira-kira enam ela dari gawang dan hampir menyentuhnya.
“Agak membimbangkan jika begitulah situasi permainan dilihat oleh mereka yang mengadili perlawanan. Saya rasa kita semua faham apa yang dimaksudkan oleh peraturan itu dan situasi ini cukup jelas.
“Bagi saya, ia memang sangat jelas,” katanya.
Dalam kenyataan yang disiarkan menerusi akaun X Premier League Match Centre ketika perlawanan berlangsung, VAR memeriksa keputusan pengadil membatalkan gol kerana offsaid sebelum menentukan bahawa Haaland berada dalam kedudukan tidak ofsaid.
“VAR mengesyorkan gol itu diberikan. VAR juga memutuskan bahawa meskipun Fernandez berada dalam kedudukan offsaid, dia tidak memainkan bola.”

