Tiga kanak-kanak di Indonesia dilapor maut setelah dijangkiti penyakit Hepatitis Akut misteri yang tidak diketahui penyebabnya.
Menurut laporan Detik News, kesemua mangsa yang meninggal dunia menerima rawatan di RSUPN Dr Ciptomangunkusumo. Pihak berkuasa masih menyiasat mengenai punca kepada jangkitan penyakit tersebut berlaku.
Wakil kepada Kesatuan Doktor Indonesia (IDI) Prof Zubairi Djoerban berkata, penyelidik di pelbagai negara ketika ini sedang bertungkus-lumus mencari punca kepada penyakit Hepatitis Akut misteri itu. Bagaimanapun, dalam laporan awal penyelidik mereka mengandaikan dua punca iaitu adenovirus 41 dan SARS-CoV-2.
Ia berikutan penyelidik menemui dua kombinasi virus berkenaan dalam badan beberapa pesakit kanak-kanak yang dijangkiti Hepatitis Akut misteri tersebut. Walaubagaimanapun, mereka tidak menolak kemungkinan adanya penyebab yang lain.
Hingga kini, tiada ujian yang mampu mengesahkan jenis hepatitis misteri tersebut. Namun, pesakit yang mempunyai tanda-tanda penyakit hepatitis akan dianggap menghidapi hepatitis misteri tersebut sekiranya hasil ujian sedia ada menunjukkan negatif kepada panyakit hepatitis yang sudah diketahui iaitu Hepatitis A, B, C,D & E.
Terdahulu, Siakap Keli turut melaporkan kejadian kanak-kanak di beberapa negara Eropah termasuk Amerika Syarikat yang dilapor dijangkiti penyakit Hepatitis Akut misteri.
Menurut laporan WHO dan ECDC, kebanyakan kanak-kanak yang terkena penyakit ini tidak mengalami demam. Namun ada beberapa kes di UK, jangkitan dilaporkan sangat teruk hingga menyebabkan kanak-kanak yang dijangkiti terpaksa dipindahkan ke bawah jagaan pakar hati dengan 6 daripadanya perlu menjalani pembedahan pemindahan hati.
Kajian awal mendapati Hepatitis misteri ini rata-rata menyerang kanak-kanak dibawah usia 10 tahun dengan simptom-simptom yang ditunjukkan seperti jaundis, cirit-birit, muntah dan sakit perut.
BACA: Penyakit Hepatitis Misteri Dilapor Serang Kanak-kanak Di 5 Negara Eropah & Amerika
Sumber: Detik News

