Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

JOHOR BAHRU, 4 Ogos (Bernama) -- Polis menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang lelaki yang mayatnya ditemukan dibungkus dan dililit jaring di Sungai Tanjung Sembrong, Parit Raja, Batu Pahat, semalam.
Timbalan Ketua Polis Johor DCP Hoo Chuan Huat berkata kesemua suspek berusia 26 hingga 40 tahun itu ditahan di sekitar Batu Pahat pada hari sama mayat ditemukan.
"Pada 3 Ogos, 12.30 tengah hari polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan satu mayat yang dibungkus dan dililit dengan jaring di Sungai Tanjung Sembrong, Parit Raja.
"Siasatan mendapati tangan dan kaki mangsa diikat menggunakan pita pelekat serta terdapat beberapa kesan kecederaan pada bahagian pinggang dan lengan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata semakan mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah, manakala lima telefon bimbit turut dirampas bagi membantu siasatan.
Hoo berkata siasatan lanjut mendapati isteri mangsa telah membuat laporan polis pada 29 Julai lepas berhubung kehilangan suaminya di Mutiara Rini, Iskandar Puteri dan kes ketika itu diklasifikasikan sebagai orang hilang.
Pengecaman awal oleh waris, mengesahkan mayat berkenaan dipercayai mangsa yang dilaporkan hilang berdasarkan pakaian serta barangan peribadi yang ditemukan bersama mayat.
Hoo berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Beliau berkata mahkamah membenarkan permohonan reman selama tujuh hari terhadap kesemua suspek bermula hari ini hingga 10 Ogos untuk membantu siasatan.
"Motif kejadian masih dalam siasatan, namun polis tidak menolak kemungkinan pembunuhan itu berpunca daripada hutang," katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan polis.