SINGAPURA, 25 Ogos (Bernama) -- Malaysia, Indonesia dan Singapura menegaskan semula komitmen bersama untuk mengekalkan Selat Melaka dan Selat Singapura bebas, terbuka dan selamat untuk perkapalan antarabangsa.
Komitmen itu dinyatakan Jabatan Laut Malaysia, Direktorat Am Perhubungan Laut Indonesia dan Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan sempena Forum Kerjasama ke-17 pada Selasa.
Ketiga-tiga pihak menekankan kepentingan menghormati hak dan kebebasan pelayaran dari segi prinsip dan amalan, selain menegaskan bahawa laluan air itu merupakan “Selat yang Digunakan untuk Navigasi Antarabangsa”, yang memberikan hak laluan transit di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS) dan undang-undang adat antarabangsa.
Sementara itu, Menteri Pengangkutan Singapura Jeffrey Siow berkata Selat Melaka dan Selat Singapura (SOMS) merupakan laluan utama perdagangan global, dengan lebih 100,000 kapal melalui laluan air itu setiap tahun.
Kedua-dua selat itu menjadi laluan bagi hampir satu perempat perdagangan laut global dan hampir satu pertiga daripada bekalan minyak dan gas dunia.
“Peristiwa di Asia Barat tahun ini mengingatkan dunia bahawa laluan laut yang terbuka tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang sentiasa terjamin.
“Di rantau ini, kami akan berusaha memastikan Selat Melaka dan Selat Singapura kekal bebas, terbuka dan selamat untuk perkapalan antarabangsa,” katanya ketika merasmikan forum itu.
Siow berkata Mekanisme Kerjasama yang diwujudkan secara rasmi pada 2007 merupakan pelaksanaan pertama dan satu-satunya bagi Artikel 43 UNCLOS, yang menyeru negara-negara supaya bekerjasama dalam aspek keselamatan navigasi dan pencegahan pencemaran.
Menerusi Mekanisme Kerjasama itu, negara-negara terbabit telah menterjemahkan kepentingan bersama kepada tindakan kolektif dalam tiga bidang utama, iaitu menjangka risiko lebih awal, menaik taraf infrastruktur secara berkala dan menangani insiden secara kolektif.

