Nak turunkan berat badan memang antara perkara yang ramai orang mahu lakukan, tetapi bukan mudah untuk konsisten, lebih-lebih lagi di Malaysia yang penuh dengan pelbagai ‘dugaan’ makanan.
Disebabkan terlalu ingin mendapatkan hasil dengan cepat, ada yang sanggup mencuba diet ekstrem sehingga menjejaskan kesihatan.
Bagaimanapun, usahawan dan pempengaruh media sosial Khairul Aming berkongsi bahawa diet tidak semestinya perlu ‘menyeksa’ diri.
Khairul Aming, atau mesra dipanggil KA, berkata dalam satu siaran langsung baru-baru ini bahawa dia tetap memilih untuk memasukkan kuah dalam hidangannya, berbeza dengan anggapan ramai.
“KA punya cara pemakanan sangat mudah. Nasi tiga kali sehari, protein, kuah.
“Kuah tu tak payah masak sendiri. Siapa yang cakap kita kena diet makan kuah zero garam, zero gula, zero MSG, zero minyak, kau minum air paip.
“Alang-alang dah macam tu minum je air paip. Sebab memang akan kurus. Tapi takde kehidupan, tak kuasa aku nak makan macam tu,” selorohnya.
Malah, KA turut berkongsi bahawa ada kalanya dia memilih untuk membeli hidangan berkuah menerusi servis penghantaran makanan berbanding memasak sendiri.
Khairul Aming Nasihat Tak Perlu Diet Ekstrem
Walaupun begitu, KA mengingatkan supaya jumlah hidangan dikawal dan tidak mengambil bahagian yang sama seperti ketika makan di kedai mamak.
“Kawal la hidangan tu. Dah kau pergi letak banjir macam nasi kandar makan kat Penang tu memang kalori tinggi la, tu semua orang tahu. Tapi sekadar letak dua tiga sudu okaylah,” katanya.
Ujarnya lagi, diet ekstrem sememangnya boleh membantu menurunkan berat badan dengan cepat, namun berat badan juga mudah naik semula selepas diet tersebut dihentikan.
“Sebab macam ni, mana yang ekstrem sangat ni akhirnya korang tak buat. Aku ni dah musim 4 musim 5 dah misi kurus. Bukan baru pertama kali, banyak kali dah naik turun. Percayalah yang ekstrem tu kejap lepastu tak buat dah.
“Memang laju turun berat tapi naik balik. Khairul Aming la bukti dia. Pergi cari balik video dua tahun lepas. Bukan main semangat, lah naik balik.
“Naik pula, lagi teruk daripada sebelum tu. Makan rilek je, tenang-tenang sahaja,” ujarnya.
Dalam pada itu, KA turut berkata bahawa jurulatih peribadi sememangnya membantu ketika bersenam, namun peranan mereka lebih kepada mengurangkan risiko kecederaan.
Katanya, jurulatih peribadinya kini lebih berperanan sebagai teman bersenam kerana kehadiran mereka membuatkan dia lebih bersemangat untuk bersenam.
“Sebab kata nak belajar benda baru, tiga tahun dah kitorang workout. Nak belajar apa lagi, sama je. Tapi motivasi tu ada bila bersenam bersama.
“Kadang-kadang ada orang cakap senang la nak kurus sebab ada trainer. Eh, trainer tu tak tolong angkat pun dumbell tu, saya angkat sendiri.
“Bila ada trainer, dia membantu mengurangkan kecederaan. Dia ajar postur yang betul. Sebab tu kalau dah pernah berlatih dengan trainer, cukuplah, dah boleh buat sendiri dah,” katanya.
Terbaharu, KA sekali lagi berkongsi bahawa dia berjaya menurunkan berat badannya buat kali kedua, hasil daripada usaha dan konsistensinya menjaga pemakanan serta rutin senaman.

