Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Misteri kehilangan seorang lelaki Ayi Solehudin, 50, yang dilaporkan hilang selama tiga tahun terungkai apabila dia ditemui tidak bermaya di kawasan lereng Gunung Salak, Indonesia, lapor Detik.com.
Difahamkan, mangsa ditemui pada Isnin, 25 Mei lalu oleh sekumpulan pendaki yang menggunakan laluan ‘tidak sah’ di lereng gunung berkenaan.
Sewaktu mencari punca saluran air, mereka melihat tubuh yang terbaring di celah batu berlumut di sungai.
Keadaan mangsa sangat lemah dengan tubuh kaku akibat kesejukan, hampir tidak mampu bergerak termasuk dikerumuni lalat.
Menurut laporan, proses pemindahan mangsa terpaksa dilakukan menggunakan peralatan asas apabila penduduk setempat bersama anggota sukarelawan Ambulans Sukabumi Bersatu (ASB) membina pengusung sementara menggunakan sebatang kayu dan sehelai kain sarung.
Mangsa kemudian diletakkan di atas pengusung berkenaan sebelum dibawa turun secara bergilir-gilir oleh beberapa sukarelawan meredah kawasan hutan yang tebal dan mencabar.
Lokasi penemuan mangsa dipercayai berada di kawasan sungai di wilayah Cipari Girang, Desa Cisaat, pada ketinggian lebih 1,000 meter dari aras laut.
Sukarelawan ASB, Muh Irfan Maulana berkata, antara cabaran utama operasi tersebut ialah kesukaran akses ke lokasi kejadian yang memaksa pasukan membuka laluan baharu bagi memudahkan proses pemindahan.
“Masalah utama kami ialah laluan. Kalau nak bawa turun melalui sungai, memang sukar,” katanya.
“Jadi kami terpaksa buka laluan baharu terlebih dahulu sebelum proses pemindahan dilakukan,” tambahnya.
Menurutnya, keadaan laluan itu sangat mencabar dengan permukaan curam, licin serta dipenuhi semak samun tebal yang perlu dibersihkan terlebih dahulu.
Operasi tersebut turut disertai oleh sukarelawan Sosial Tangan Peduli, penduduk kampung serta pemerintah desa setempat.
Sepanjang proses pemindahan, pasukan penyelamat dilihat bergilir-gilir membawa mangsa sambil memberi arahan antara satu sama lain bagi memastikan keselamatan terjaga di laluan sukar.
Difahamkan, usaha membuka laluan itu dilakukan dengan segera memandangkan mangsa berisiko mengalami hipotermia akibat suhu sejuk di kawasan pergunungan tersebut.
“Dalam keadaan tanpa perlindungan sesuai, risiko hipotermia sangat tinggi. Ketika ditemui, mangsa memang berada dalam keadaan sangat lemah,” jelasnya.
Selepas kira-kira tiga jam operasi dijalankan, pasukan tersebut akhirnya berjaya membawa mangsa keluar ke kawasan penempatan penduduk dengan selamat sekitar jam 1 tengah hari.