Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Sherpa Hilang Di Gunung Everest Selama Seminggu Ditemukan Selamat
KATHMANDU, 4 Jun (Bernama-dpa) -- Seorang malim gunung Sherpa yang hilang di Gunung Everest selama hampir seminggu ditemukan selamat pada Khamis berhampiran kem pangkalan puncak tertinggi dunia itu, sekali gus menamatkan operasi pencarian yang mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatannya, lapor Agensi Berita Jerman (dpa), memetik pihak berkuasa.
Dawa Sherpa, atau dikenali sebagai Hillary Dawa, 57, dari timur Nepal, kali terakhir dilihat berhampiran Kem III pada 29 Mei ketika menuruni gunung tertinggi dunia itu selepas mengiringi seorang pendaki dari Poland.
Menurut Ketua Pejabat Kem Pangkalan Everest Jabatan Pelancongan, Khimlal Gautam, pihaknya menerima maklumat mengenai kehilangan Dawa pada 30 Mei. Operasi pencarian udara dijalankan pada Rabu hingga ke Kem III namun gagal menemuinya.
“Kami menjalankan pencarian udara semalam hingga ke kem pangkalan tetapi tidak dapat mengesannya. Ia satu kelegaan besar dan berita baik apabila beliau muncul sendiri,” kata Gautam kepada dpa.
Perkembangan itu berlaku pada Khamis apabila anggota pasukan Icefall Doctors, yang sedang menanggalkan tali dan tangga serta menutup laluan Everest, menemukan Dawa berjalan merentasi rekahan ais berhampiran Khumbu Icefall, di atas kem pangkalan.
Beliau kemudian diterbangkan ke Kathmandu dan sedang menerima rawatan di Hospital HAMS. Pihak berkuasa dan pengendali ekspedisi berkata keadaan kesihatannya baik.
Gautam berkata usaha menyelamat tertangguh kerana maklumat mengenai kehilangan itu diterima lewat selain komplikasi berkaitan dokumen ekspedisi.
“Beliau memperoleh permit melalui satu syarikat tetapi mendaki bersama syarikat lain. Keadaan itu menimbulkan komplikasi dalam proses menyelamat kerana operasi menyelamat membabitkan kos yang tinggi,” katanya.