Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Tiga Tahun Tinggal Tanpa Ibu Bapa, Kisah Adik Alis Runtun Hati Ramai
Bagi seorang anak, ibu dan bapa merupakan harta yang tak ternilai dan menjadi tempat untuk berpaut dikala musibah melanda.
Kedua-dua insan inilah yang menjadi tulang belakang kekuatan dalam menjalani liku-liku kehidupan harian.
Pun begitu, kehilangan mereka sudah tentu memberi satu tamparan yang hebat, lebih-lebih lagi di usia anak yang baru menapak dalam kehidupan.
Berat mata memandang, berat lagi mahu memikul, itulah situasi yang dapat digambarkan oleh seorang anak yatim piatu, adik Alis yang tabah menjalani kehidupan tiga tahun seorang diri selepas pemergian ibu dan bapanya sejak usia 17 tahun.
Menerusi perkongsian TikTok @ceokuterer, meruntun hati ramai warga maya apabila menyelami ketabahan yang dilalui oleh adik Alis.
Difahamkan, remaja itu terpaksa menjalani kehidupan sebatang kara termasuk menguruskan urusan persekolahan, makan minum, rumah sewa dan bil utiliti tanpa sokongan ibu bapa.
Meskipun diuji, anak lelaki itu terus cekal belajar dan berjaya menerima tawaran pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 28 September ini.
Dalam klip berkenaan turut memaparkan pelbagai pihak tampil menghulurkan bantuan, termasuk Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri menerusi PPPN Kelantan dalam usaha meringankan bebannya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata meluahkan rasa sebak melihat keadaan yang terpaksa dilalui oleh anak muda berkenaan.
Kisah ini turut mencuri perhatian Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
“InsyaAllah, MARA akan bantu. Semalam saya sudah dimaklumkan oleh Ketua Pemuda UMNO Kota Bharu,” komennya.
“Sebaknya hati baca kisah adik alis. Tak sedar air mata mengalir. Semoga Allah SWT permudahkan segalanya buatmu Alis. Terus menjadi contoh yang baik kepada anak-anak muda yang lain,” komen seorang lagi.
Sumber: TikTok @ceokuterer
BACA: Netizen Kecoh, Teruja Tengok Orang Malaysia “Join” Running Man