Pelakon Bollywood, Tiger Shroff dilaporkan terselamat tanpa sebarang kecederaan selepas kereta dinaikinya menjadi sasaran serangan tembakan di kawasan Juhu, Mumbai, pada petang Ahad.
Dalam kejadian itu, pemandunya dilaporkan mengalami kecederaan akibat tembakan, manakala seorang lagi individu yang berada berhampiran turut terkena tembakan di bahagian dada.
Menurut laporan media, tiga lelaki yang dipercayai terlibat melarikan diri menggunakan motosikal selepas melepaskan lima das tembakan.
Rakaman video yang tular menunjukkan senjata api salah seorang penyerang dipercayai mengalami kerosakan ketika dia cuba melepaskan tembakan keenam pada jarak dekat dengan pelakon berkenaan.
Tiger dilaporkan baru meninggalkan sebuah padang bola sepak ketika kejadian berlaku.
Tidak lama selepas insiden itu, satu rakaman audio tersebar di media sosial memaparkan seorang lelaki memperkenalkan dirinya sebagai Anil Pandit dan mendakwa mempunyai hubungan dengan kumpulan Lawrence Bishnoi.
Lelaki itu mendakwa Tiger menjadi sasaran kerana tidak mengendahkan arahan kumpulan berkenaan serta dikatakan bekerja bersama Salman Khan.
Dalam rakaman tersebut, lelaki berkenaan turut mendakwa dirinya dan seorang individu bernama Harman Sandhu bertanggungjawab terhadap kejadian itu.
Dia juga mengeluarkan amaran terhadap individu dalam industri filem yang didakwa tidak sehaluan dengan kumpulan berkenaan atau bekerjasama dengan Salman.
Bagaimanapun, dakwaan dalam rakaman audio itu belum dapat disahkan secara bebas.
Laporan turut menyebut seorang individu kemudian ditahan, namun butiran lanjut mengenai identitinya dan kaitannya dengan kejadian masih belum diperoleh.
Untuk rekod, Lawrence Bishnoi yang kini dipenjarakan di Gujarat sebelum ini berulang kali mengeluarkan ancaman terhadap Salman Khan.
Pada 2023, Agensi Siasatan Kebangsaan India (NIA) memaklumkan Salman antara sasaran utama yang didakwa mahu dihapuskan oleh Bishnoi. Ancaman itu dikaitkan dengan insiden pemburuan antelop hitam pada 1998 yang didakwa menyinggung masyarakat Bishnoi.
Tiger dan Salman tidak pernah bergandingan dalam filem cereka panjang yang sama, namun kedua-duanya mempunyai beberapa hubungan dalam industri perfileman. Bapa Tiger, Jackie Shroff, juga pernah bergandingan dengan Salman dalam beberapa filem.
Insiden terbaharu itu turut mengingatkan kepada kes pembunuhan bekas menteri Maharashtra dan pemimpin Parti Kongres Nasionalis (NCP), Baba Siddique, yang ditembak mati di kawasan Bandra, Mumbai, pada 12 Oktober 2024.
Kumpulan Lawrence Bishnoi dilaporkan mengaku bertanggungjawab terhadap pembunuhan Siddique, dengan persahabatannya bersama Salman Khan disebut sebagai antara sebab serangan tersebut.

