Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lebih 30,000 pelajar Tingkatan Enam bakal menerima bantuan kerajaan setaraf dengan murid Tahun Satu hingga Tingkatan Lima selepas kerajaan memutuskan untuk mengekalkan pengurusan pendidikan prauniversiti itu di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) buat masa ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat selepas kerajaan mengambil kira keperluan semasa sistem pendidikan serta maklum balas daripada pelajar Tingkatan Enam yang mendakwa mereka sering tercicir daripada pelbagai inisiatif bantuan kerajaan.
Katanya, setiap kali bertemu pelajar Tingkatan Enam, perkara itu antara isu yang paling kerap dibangkitkan.
“Untuk Tingkatan Enam yang memanfaatkan lebih 30,000 pelajar sekarang ini, kita akan beri bantuan yang sama seperti pelajar darjah satu hingga Tingkatan Lima.
“Setiap kali saya bertemu pelajar Tingkatan Enam, mereka menyatakan mereka tertinggal daripada bantuan yang diberikan,” katanya ketika berucap pada pertemuan bersama warga Kementerian Pendidikan di sini, hari ini.
Menurut Anwar, cadangan meletakkan Tingkatan Enam di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) selaras dengan statusnya sebagai pendidikan prauniversiti mempunyai asas yang kukuh.
Bagaimanapun, ujarnya, pelaksanaan cadangan tersebut memerlukan tempoh peralihan kerana melibatkan perubahan terhadap sistem sedia ada.
Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan memutuskan supaya Tingkatan Enam terus berada di bawah KPM sehingga satu mekanisme yang lebih sesuai dapat dilaksanakan pada masa hadapan.
Dalam pada itu, Anwar mahu identiti Tingkatan Enam sebagai program prauniversiti diperkasakan menerusi pengurusan yang lebih tersusun di sekolah.
Beliau mencadangkan supaya pelajar Tingkatan Enam ditempatkan di blok yang berasingan dan diuruskan sebagai satu program khas, bukannya dianggap sebahagian daripada aliran sekolah menengah biasa.
“Kalau dalam satu sekolah ada Tingkatan Enam, ia harus mempunyai blok berasingan dan pengetua perlu menguruskan program itu secara berasingan.
“Kalau ada perhimpunan, biarlah perhimpunan sekolah melibatkan murid sehingga Tingkatan Lima, manakala Tingkatan Enam diberikan pengiktirafan khas sebagai sebuah bahagian prauniversiti walaupun masih berada dalam kawasan sekolah yang sama,” katanya.
Beliau berkata pendekatan itu diyakini mampu mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih sesuai dengan status pelajar Tingkatan Enam sebagai lepasan sekolah menengah yang sedang mengikuti pendidikan prauniversiti.
Menurut Anwar, kerajaan juga akan menilai semula kedudukan Tingkatan Enam dalam tempoh beberapa tahun akan datang, termasuk kemungkinan mewujudkan kolej khas Tingkatan Enam sekiranya keadaan mengizinkan.
“Buat masa sekarang, saya putuskan supaya prauniversiti atau Tingkatan Enam kekal di bawah Kementerian Pendidikan,” katanya.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan