Kebakaran hutan dan lahan di Kalimantan masih berlaku dengan titik kebakaran dikesan tersebar di beberapa wilayah, manakala beberapa kawasan dilaporkan diselubungi asap tebal.
Memetik CNBC Indonesia, sejumlah tanda bulatan merah yang menunjukkan lokasi kebakaran dapat dilihat menerusi aplikasi Google Maps.
Titik merah berkenaan tersebar luas dari Kalimantan Utara hingga Kalimantan Selatan.
Isu tersebut menjadi perbualan hangat di media sosial.

Seorang pengguna X berkata dia pada awalnya hanya membuka Google Maps untuk urusan kerja, namun perhatiannya beralih kepada petunjuk kebakaran di Kalimantan.
“Maaf mengganggu anda yang sedang scrolling. Cuma mahu maklumkan. Seluruh pelosok Kalimantan di bahagian Indonesia sedang terbakar.
“Setiap titik api sangat besar dan luas. Saiznya boleh mencecah dua kali ganda Jakarta Pusat dan 1.3 kali keluasan Kota Denpasar,” tulisnya.
Selain itu, beberapa pengguna media sosial turut berkongsi suasana aktiviti harian di sana dalam keadaan diselubungi asap yang sangat tebal.
“Kalau anda tertanya-tanya sejauh mana bahayanya dan betapa dekatnya kebakaran hutan dan lahan dengan kawasan penempatan penduduk di Kalimantan, lihatlah ini.
“Semoga bantuan segera disalurkan, semoga hujan cepat turun dan semoga ada penyelesaian kepada masalah ini. Pray for Kalimantan,” tulis seorang pengguna sambil memuat naik rakaman video dan foto.
Mengulas mengenai situasi itu, Ketua Pusat Data, Informasi dan Komunikasi Bencana BNPB, Berton SP Panjaitan berkata, Pasukan Petugas (Satgas) bagi menangani kebakaran hutan dan lahan terus berusaha memadamkan kebakaran di beberapa wilayah yang terjejas.
“Bagaimanapun, setakat ini belum ada lapangan terbang yang ditutup akibat kebakaran hutan dan lahan tersebut,” kata Berton dalam kenyataan bertulis kepada CNBC Indonesia.
Titik kebakaran Kalimantan

Seperti yang diketahui, kebakaran hutan dan lahan bukanlah isu baharu di Indonesia.
Rekod sejarah menunjukkan kejadian ini berulang kali melanda Sumatera dan Kalimantan sehingga menyebabkan kerugian ekonomi yang besar serta krisis kesihatan merentas negara.

Memetik laman rasmi Forum Geosaintis Muda Indonesia (FGMI), kebakaran hutan dan lahan berskala besar pertama dalam sejarah moden Indonesia direkodkan berlaku di Kalimantan Timur pada 1982 hingga 1983.
Ketika itu, fenomena iklim El Nino menyebabkan kemarau ekstrem antara Jun 1982 hingga Mei 1983.
Di samping itu, cuaca panas berpanjangan yang digabungkan dengan amalan pertanian berpindah menggunakan kaedah pembakaran tanah bagi tanaman bermusim seperti padi, ubi dan jagung menjadi antara pencetus utama kebakaran.
Sektor perhutanan menjadi semakin terdedah akibat aktiviti pembalakan haram. Sisa kayu yang bertimbun di kawasan hutan menjadi bahan bakar yang sangat mudah terbakar.


