Tony Jaa Kini Berjuang Melawan Kanser
Bintang filem aksi Thailand, Tony Jaa, dilaporkan sedang menerima rawatan akibat kanser pundi hempedu.
Menurut Bangkok Post, pelakon itu pertama kali didiagnosis pada Jun 2024.
Sumber yang rapat dengan pelakon itu memberitahu Nine Entertain bahawa diagnosis awal adalah tahap 3 dan hampir ke tahap 4.
Bagaimanapun, Channel 3 melaporkan bahawa keadaan pelakon filem Ong Bak itu bertambah baik selepas melakukan kemoterapi, tetapi masih memerlukan pengawasan rapi doktor.
Terdahulu, para peminatnya menyatakan kebimbangan selepas Tony kelihatan lebih kurus dalam gambar yang dimuat naik di media sosial baru-baru ini.
Dalam kiriman pada 31 Januari, Tony Jaa memaklumkan bahawa dia dalam perjalanan untuk menyiapkan video muzik baharunya.
Kredit: Japhanom Yeerum Via Bangkok PostNamun, dia tidak menyebut mengenai masalah sakit yang dialaminya.
Dilahirkan di wilayah timur laut Surin, Tony atau nama sebenarnya Tatchakorn Yeerum menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-50 pada Khamis.
Selepas berlatih Muay Thai dari usia 10 tahun dan disusuli dengan kerjaya sebagai pelakon aksi lagak ngeri selama bertahun-tahun, Tony akhirnya mencapai kejayaan pada tahun 2003 menerusi filem Ong Bak.
Filem itu bukan sahaja mendapat perhatian di Thailand, malah meraih pengiktirafan antarabangsa dan membawa kepada dua sekuel.