Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

TPM Zahid Seru Pengundi Kempas, Perling Beri Mandat Kepada Calon BN

MANDAT
Kredit: Facebook Zahid Hamidi

TPM Zahid Seru Pengundi Kempas, Perling Beri Mandat Kepada Calon BN

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas dan Perling agar memberikan sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN) pada hari pengundian bagi memastikan agenda pembangunan Johor dapat diteruskan.

Katanya dalam satu hantaran di Facebook pagi tadi, sambutan luar biasa daripada ribuan penyokong BN yang menghadiri ceramah di Medan Selera Taman Cempaka membuktikan semangat Bangsa Johor untuk terus melihat negeri itu berkembang maju.

“Teruja saya melihat ribuan penyokong Barisan Nasional yang hadir berhimpun bersama warga Kempas dan Perling di Medan Selera Taman Cempaka semalam.

“Gelombang biru yang memenuhi setiap ruang malam tadi sudah cukup menggambarkan semangat Bangsa Johor yang mahu terus melihat negeri ini melangkah lebih jauh,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid, sepanjang tempoh dua minggu berkempen, BN memilih untuk membawa pendekatan politik yang matang dan beradab dengan menampilkan rekod pencapaian serta perancangan jelas untuk masa depan Johor.

Beliau berkata, fokus utama kempen BN adalah kepada isu yang dekat dengan rakyat seperti peluang pekerjaan, penyediaan rumah mampu milik, pendidikan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pelaburan serta masa depan generasi muda.

“Kita bercakap tentang peluang pekerjaan, rumah mampu milik, pendidikan, TVET, pelaburan dan masa depan anak-anak Johor.

“Itulah politik yang kita bawa. Politik yang bekerja. Politik yang menawarkan penyelesaian,” ujarnya.

Tambah beliau, BN tidak meminta rakyat memberikan sokongan tanpa asas, sebaliknya mengajak pengundi menilai rekod prestasi dan membuat keputusan berdasarkan fakta.

Menurutnya, menjelang penghujung tempoh berkempen, segala usaha, fakta dan tawaran telah dibentangkan kepada rakyat, manakala keputusan kini terletak di tangan pengundi.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid menyeru pengundi di DUN Kempas dan DUN Perling agar memberikan mandat kepada calon BN, Datuk Ramlee Bohani dan Pannir Selvam.

Katanya, sokongan itu penting bagi memastikan agenda pembangunan negeri dapat diteruskan demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan Johor.

“Insya-Allah, saya yakin Bangsa Johor cukup matang untuk menentukan pilihan yang terbaik demi memastikan kestabilan terus dikekalkan dan kemajuan negeri ini dapat diteruskan,” katanya.