Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Tragedi Bulan Madu, Isteri Ditemui Meninggal & Suami Tak Sedarkan Diri
Sumatera Barat — Percutian bulan madu pasangan pengantin baharu bertukar tragedi apabila kedua-duanya ditemui tidak sedarkan diri di tempat penginapan bertemakan glamping pada Khamis.
Memetik laporan Kompas, isteri yang berusia 28 tahun disahkan telah meninggal dunia ketika ditemui di tempat penginapan yang terletak di Alahan Panjang, Kabupaten Solok.
Manakala, suaminya pula masih berada dalam keadaan kritikal dan dikejarkan ke hospital.
Ketua Polis Daerah Solok, AKBP Agung Pranajaya berkata, polis masih menunggu keputusan bedah siasat ke atas mayat mangsa.
“Kami sedang menunggu keputusan bedah siasat,” katanya.
Tambahnya lagi, pihak polis telah mengawal ketat lokasi kejadian dengan memasang pita polis dan menutup akses kepada orang awam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lembah Gumanti, AKP Barat Rahmat Sukarsih berkata hasil bedah siasat luar tidak menemui sebarang keganasan pada tubuh mangsa.
“Pemeriksaan luar tidak menemui tanda-tanda keganasan. Dia sudah meninggal dunia ketika dibawa ke pusat kesihatan masyarakat,” katanya.
Terdapat dakwaan bahawa ia berpunca daripada keracunan gas dari pemanas air, namun pihak polis tidak mengesahkan perkara terbabit.
“Kami belum boleh membuat kesimpulan. Semua kemungkinan ada, tetapi kami belum dapat memastikannya lagi,” kata Barata.
Pasangan itu telah mendaftar masuk pada Rabu, namun keesokan paginya, kakitangan penginapan mula curiga kerana tiada respon dari dalam bilik semasa sarapan dihantar.
Selepas mengetuk pintu beberapa kali dan masih tiada respon, akhirnya kakitangan itu memecahkan pintu untuk masuk.
Kedua-dua mangsa kemudian ditemui dalam keadaan terbaring di dalam bilik air. Mereka telah diberi bantuan pernafasan, sebelum dibawa ke pusat kesihatan masyarakat.
Kejadian itu bukan sahaja tular di Indonesia tetapi juga di Malaysia, ramai yang ingin tahu punca sebenar tragedi terbabit.
Sumber: Kompas