Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Tragedi pokok tumbang yang meragut empat nyawa di Jalan Lama Bentong–Kuala Lumpur mencetuskan gesaan supaya pemantauan keselamatan di laluan berkenaan diperkukuhkan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman berkata, semua agensi teknikal berkaitan perlu mempertingkatkan kerjasama dengan melaksanakan penilaian berkala terhadap kesihatan pokok, kestabilan sistem akar serta struktur tanah di sepanjang laluan FT68 (Jalan Lama Bentong–Kuala Lumpur).
Menurut beliau, tragedi yang berlaku berhampiran Genting Sempah–Bukit Tinggi semalam menjadi peringatan bahawa langkah pencegahan sedia ada perlu diperkasa secara lebih menyeluruh.
“Justeru, saya menyokong penuh pandangan positif daripada pelbagai pihak, termasuk Persatuan Pengamal ESH Pahang (PESHA), untuk menambah baik aspek pengurusan keselamatan laluan ini.
“Kementerian Kerja Raya (KKR), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak konsesi penyelenggaraan harus mempertingkatkan kerjasama dengan pihak serta pakar bertauliah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Young Syefura berkata, laluan FT68 merupakan antara jalan utama yang menghubungkan kawasan pelancongan seperti Kampung Janda Baik dan Bukit Tinggi, selain menjadi laluan alternatif penting apabila berlaku kesesakan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK).
Katanya, faktor geografi kawasan yang dikelilingi cerun berbukit serta pokok-pokok matang menjadikan isu kestabilan cerun dan risiko pokok tumbang sentiasa diberi perhatian dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD) Bentong.
Beliau turut menggesa semua pemegang taruh, termasuk pengusaha kawasan pelancongan dan masyarakat setempat, supaya menyalurkan maklumat awal sekiranya mengesan pokok yang berisiko tumbang bagi membolehkan tindakan segera diambil.
“Saya juga menyeru pemegang taruh di kawasan tumpuan pelancongan dan pihak berkepentingan tempatan untuk bersama-sama menyumbang maklumat awal berhubung pokok berisiko di kawasan sekitar demi tindakan awal pihak berkuasa.
“Pihak saya akan terus membawa perkara ini ke peringkat kementerian serta menyusuli pelaksanaan tindakan pemantauan ini dalam Mesyuarat JTPD Bentong yang akan datang,” ujarnya.
Beliau berkata, keutamaan ketika ini adalah memastikan kerjasama erat antara semua agensi teknikal dapat diperkukuhkan demi menjamin keselamatan penduduk setempat dan pengguna jalan raya.
Semalam, media melaporkan Ketua Pemuda UMNO Maran, Mohd Radzi Rahimi atau lebih dikenali sebagai Edy Radzi, bersama isteri, seorang anak serta adik iparnya maut selepas pacuan empat roda yang dinaiki mereka dihempap sebatang pokok tumbang di laluan FT68 berhampiran Genting Sempah-Bukit Tinggi.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan