Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Tragedi Pencarian Harta Karun, Dua Maut Tertimbus Runtuhan
Indonesia -- Kegiatan pencarian harta karun di Kecamatan Antapani, Kota Bandung berakhir dengan tragedi apabila dua individu maut tertimbus runtuhan dalam kejadian pada Rabu.
Menurut Detik Jabar, kejadian berlaku ketika mangsa, MHN, 25, selesai melakukan kerja penggalian tanah sedalam kira-kira dua meter.
Pada awalnya, lubang tersebut bertujuan untuk pembinaan kolam renang.
Tidak lama kemudian, dua individu lain, RY dan FH yang masing-masing berusia 40 dan 47 tahun tiba di lokasi dengan rancangan untuk melakukan ritual tertentu bagi mencari harta karun yang dipercayai berada di dalam lubang berkenaan.
“Berdasarkan maklumat di lokasi kejadian, dua individu itu kemudian turun ke dasar lubang yang dipercayai untuk melakukan ritual tertentu atas permintaan pihak keluarga,” kata Ketua Dinas Pemadam Kebakaran dan Penyelamatan Kota Bandung, Soni Bakhtiyar.
Menurut Soni, tidak lama selepas itu berlaku kegagalan struktur pada lantai bangunan di bahagian sisi galian.
Dinding bekas tapak mesin pengisar padi itu runtuh secara tiba-tiba akibat keadaan asas yang tidak stabil selepas tanah di bawahnya digali.
“Runtuhan konkrit tersebut jatuh terus ke dalam lubang dan menimpa MHN serta RY. Pada masa yang sama, lantai di bahagian lain turut runtuh dan mengenai FH, namun FH berjaya menyelamatkan diri daripada runtuhan tersebut,” katanya.

Susulan kejadian itu, anggota penyelamat berjaya mengalihkan satu bongkah konkrit yang berada dalam kedudukan tidak stabil dan berbahaya. Operasi menyelamat mengambil masa hampir tiga jam.
Ketua Polis Sektor Antapani, Kompol Yusuf Tojiri, mengesahkan kejadian berkenaan. Menurutnya, mangsa ketika itu sememangnya sedang mencari harta karun.
Menurutnya, kira-kira sebulan lalu mangsa menerima bimbingan daripada seorang wanita berinisial FH bagi menjalankan ritual pencarian harta karun.
Dalam kejadian ini, mangsa diminta menggali beberapa titik di kawasan berhampiran lokasi penggilingan padi.
Pihak polis akan memanggil dan memeriksa wanita berinisial FH tersebut.
Siasatan lanjut turut dijalankan bagi menentukan sama ada wujud unsur jenayah yang menyebabkan kematian kedua-dua mangsa.