Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Trend “Reta” Untuk Kurus Makin Tular, Public Health Malaysia Dedah Risiko Ubat Tidak Berdaftar

RETA
Kredit: Facebook Public Health Malaysia

Trend “Reta” Untuk Kurus Makin Tular, Public Health Malaysia Dedah Risiko Ubat Tidak Berdaftar

Keinginan untuk kurus dengan cepat kini dilihat semakin membimbangkan apabila ramai sanggup mendapatkan suntikan yang tidak diketahui status keselamatannya, termasuk bahan dikenali sebagai Retatrutide atau lebih popular disebut sebagai “Reta”.

Berdasarkan perkongsian Public Health Malaysia, bahan tersebut kini dikesan semakin rancak dipromosikan di media sosial sebagai jalan pintas untuk menurunkan berat badan, walaupun ia masih belum diluluskan untuk kegunaan awam.

Menurut Public Health Malaysia, hasil semakan menerusi sistem QUEST3+ di laman web National Pharmaceutical Regulatory Agency (NPRA) mendapati nama “Retatrutide” tidak berdaftar di Malaysia.

Jelas mereka, apabila sesuatu ubat tidak berdaftar, sebarang aktiviti menjual, mengedar atau mempromosikannya adalah satu kesalahan di sisi undang-undang.

“Bila sesuatu ‘ubat’ tidak berdaftar, jual, edar dan promosi pun memang salah. Dari sudut keselamatan pula, pengguna tidak tahu kandungan sebenar, dos yang betul, tahap steril serta cara penyimpanan bahan itu,” menurut kenyataan Public Health Malaysia.

Malah, mereka berkata trend penggunaan ubat diabetes untuk tujuan kurus juga semakin menjadi-jadi sehingga menyebabkan stok ubat tertentu habis di pasaran, sekali gus menyukarkan pesakit sebenar untuk mendapatkan rawatan.

Lebih membimbangkan, Retatrutide dikatakan masih berada dalam fasa kajian dan belum diluluskan oleh mana-mana badan kesihatan dunia untuk penggunaan umum.

Public Health Malaysia turut memberi amaran bahawa pengambilan bahan tidak sah itu boleh mengundang risiko serius seperti muntah teruk, jangkitan kuman, kerosakan pankreas, masalah buah pinggang, malah komplikasi lebih buruk jika kandungannya diragui.

“Ramai terdesak mahu cepat kurus hingga sanggup cucuk apa sahaja tanpa tahu apa sebenarnya yang masuk ke dalam badan.

“Siapa pembekalnya? Dibancuh di mana? Disimpan dengan cara yang betul atau tidak? Dos itu benar-benar tepat atau sekadar campuran bendasing?” katanya.

Tambah mereka, ubat jenis hormon peptida seperti ini sangat sensitif terhadap suhu dan boleh menjadi berbahaya sekiranya tidak disimpan mengikut rantaian sejuk (cold chain) yang betul.

Menurut Public Health Malaysia lagi, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan testimoni atau tawaran murah yang dijual di platform seperti Telegram, WhatsApp dan Instagram.

Sebaliknya, mereka menggesa orang ramai mendapatkan nasihat doktor serta membuat semakan status ubat terlebih dahulu melalui saluran rasmi sebelum mengambil sebarang suntikan.

“Badan manusia bukan tempat cuba-cuba. Nak berubah tak salah, tetapi pastikan cara itu selamat dan sah,” katanya lagi.

Orang ramai yang menemui penjualan bahan mencurigakan itu turut digalakkan membuat laporan kepada NPRA atau melalui sistem aduan Kementerian Kesihatan Malaysia (SISPAA).