Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Trump Arah Serangan Baharu Ke Atas Iran, Ugut Tindakan Lebih Dahsyat
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengarahkan satu lagi siri serangan ketenteraan ke atas Iran pada Rabu sebagai tindak balas terhadap serangan yang didakwa dilakukan Tehran terhadap kapal-kapal di Selat Hormuz.
Trump turut memberi amaran bahawa tindakan lebih keras akan diambil sekiranya Iran terus menyerang kapal yang melalui laluan perkapalan strategik itu.
"Malam ini kami akan membalas serangan semalam terhadap kapal-kapal oleh Iran. Jika ia berlaku lagi, tindak balas kami akan menjadi jauh lebih buruk," katanya menerusi hantaran di Truth Social.
Media kerajaan Iran melaporkan beberapa letupan berlaku di sepanjang pesisir selatan negara itu sejurus selepas United States Central Command mengumumkan gelombang baharu serangan terhadap sasaran Iran.
Menurut agensi berita rasmi IRNA, pesawat pejuang kedengaran berlegar di ruang udara Pulau Kish. Manakala, letupan turut dilaporkan di bandar pelabuhan Bandar Abbas, Konarak dan Chabahar. Sebahagian kawasan di Chabahar juga mengalami gangguan bekalan elektrik.
CENTCOM memaklumkan operasi itu bertujuan melemahkan keupayaan tentera Iran yang didakwa mengancam kebebasan pelayaran di Selat Hormuz, laluan yang mengendalikan kira-kira satu perlima daripada penghantaran minyak mentah dan gas asli cecair (LNG) dunia.
Menurut kenyataan itu, AS bertindak untuk mempertanggungjawabkan Iran atas apa yang disifatkan sebagai tindakan agresif terhadap kapal-kapal komersial.
Walaupun mengarahkan serangan balas, Trump sebelum itu berkata beliau menjangkakan ketegangan semasa tidak akan berlarutan dan masih membuka ruang kepada penyelesaian menerusi rundingan diplomatik.
Sebelum serangan terbaharu itu dilancarkan, Trump turut mengisytiharkan gencatan senjata dengan Iran sudah berakhir. Ia sekali gus mencetuskan gesaan daripada Pakistan, Qatar dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu supaya semua pihak mengurangkan ketegangan.
Selat Hormuz terus menjadi titik panas konflik Asia Barat yang tercetus sejak 28 Februari lalu selepas serangan bersama AS dan Israel yang mengorbankan Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei.
Sejak itu, Tehran menegaskan ia berhak mengawal laluan tersebut, termasuk mengenakan bayaran kepada kapal yang melaluinya serta mengancam akan menyerang kapal yang tidak menggunakan laluan yang diluluskan.
Tentera Iran dilaporkan menyerang sekurang-kurangnya tiga kapal dalam beberapa hari kebelakangan ini, menyebabkan AS melancarkan serangan besar-besaran terhadap sasaran Iran pada Selasa sebelum Iran bertindak membalas dengan menyerang kepentingan Amerika di beberapa negara Teluk.
Trump, ketika menghadiri sidang kemuncak NATO di Ankara, berkata Iran melanggar perjanjian setiap hari, namun menambah bahawa konflik itu dijangka dapat ditamatkan dalam masa terdekat.
Kenyataan beliau bahawa gencatan senjata sudah berakhir turut menyebabkan harga minyak dunia melonjak kira-kira lapan peratus.
Setiausaha Agung PBB, António Guterres menggesa semua pihak menunjukkan tahap kawalan diri yang maksimum bagi mengelakkan konflik menjadi lebih buruk.
Pakistan, yang menjadi antara pengantara rundingan antara AS dan Iran, turut menggesa semua pihak mengurangkan ketegangan.
Iran pula memaklumkan Menteri Luarnya, Abbas Araghchi, mengadakan perbincangan melalui telefon dengan Perdana Menteri Qatar dan kedua-duanya menegaskan kepentingan menggunakan saluran diplomatik bagi menyelesaikan krisis serantau.
CENTCOM memaklumkan tenteranya menyerang lebih 80 sasaran pada Selasa, termasuk sistem pertahanan udara, radar pantai dan 60 bot kecil milik Islamic Revolutionary Guard Corps.
Sementara itu, Kor Pengawal Revolusi Iran mendakwa mereka menyerang puluhan kemudahan tentera AS di Kuwait dan Bahrain.
Kuwait memaklumkan pihaknya berjaya memintas dua peluru berpandu balistik serta 13 dron, manakala tentera Iran mendakwa turut menyerang pangkalan udara Sheikh Isa di Bahrain.
Bagaimanapun, seorang pegawai tentera Amerika berkata semua peluru berpandu dan dron yang dilancarkan Iran berjaya dipintas atau tidak menyebabkan kerosakan besar, selain tiada anggota tentera Amerika dilaporkan terkorban.
Sementara itu, Oman mengutuk serangan terhadap Bahrain, Kuwait dan kapal-kapal di Selat Hormuz tanpa menyalahkan mana-mana pihak secara terbuka.
Negara itu sebelum ini memainkan peranan sebagai pengantara dan masih berusaha mengekalkan pendirian berkecuali dalam rundingan mengenai pentadbiran Selat Hormuz.
AS mahu laluan itu kekal bebas digunakan semua kapal, manakala Iran bertegas mahu mengenakan bayaran kepada kapal yang melaluinya serta enggan membenarkan kapal menggunakan perairan Oman sebagai laluan alternatif.
Menurut Ketua International Maritime Organization, Arsenio Dominguez, kira-kira 6,000 pelaut masih terkandas di kawasan berkenaan susulan ketegangan yang berterusan.