Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump secara rasmi telah memperkenalkan Lembaga Keamanan baharunya di Davos pada Khamis, lapor AFP.
Pelancaran lembaga itu sekali lagi menampilkan dirinya sebagai pendamai global meskipun berdepan keraguan meluas terhadap pelan yang didakwa bertujuan menulis semula susunan dunia.
Pegawai Trump turut membentangkan rancangan bercita-cita tinggi bagi mewujudkan 'Gaza Baharu' semasa majlis di World Economic Forum, dengan Trump menyifatkan wilayah Palestin yang musnah itu sebagai 'hartanah yang hebat'.
Trump rasmi Lembaga Keamanan
Lembaga Keamanan diwujudkan selepas Trump meluahkan kekecewaannya kerana gagal memenangi Hadiah Nobel Keamanan dan meningkatkan tuduhannya bahawa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah gagal menyelesaikan pelbagai konflik antarabangsa.
“Lembaga ini berpeluang menjadi salah satu badan paling penting yang pernah diwujudkan,” kata Trump ketika beliau disertai di atas pentas oleh para pemimpin dan pegawai dari 19 negara untuk menandatangani piagam pengasas lembaga di pusat peranginan ski Switzerland.
Beliau berkata sekitar 50 negara dijangka menyertai lembaga tersebut, namun keanggotaan penuhnya masih belum jelas.
Negara-negara yang berminat diminta membayar AS$1 bilion bagi keahlian tetap lembaga tersebut.
Pada asalnya, Lembaga Keamanan itu yang dipengerusikan oleh Trump, direka untuk memantau gencatan senjata Gaza serta pembinaan semula wilayah berkenaan.
Namun, fungsinya kemudiannya berkembang kepada penyelesaian pelbagai konflik antarabangsa, sekali gus mencetuskan kebimbangan bahawa presiden AS itu mahu mewujudkan saingan kepada PBB.
Sementara itu, sekutu utama AS termasuk Perancis dan Britain menyatakan keraguan, dengan London mengumumkan pada Khamis bahawa ia tidak akan menghadiri majlis berkenaan.
Menurut AFP, sebahagian besar majlis tertumpu kepada perbincangan mengenai rancangan untuk Gaza yang telah musnah.

Pentadbir Gaza yang baru dilantik berkata dalam satu mesej video bahawa lintasan sempadan Rafah antara Mesir dan Semenanjung Gaza akan dibuka semula di kedua-dua arah minggu depan.
Pelan pembinaan semula Gaza dibentang
Kemudian, menantu Trump, Jared Kushner, yang juga bekas pemaju hartanah, mempersembahkan slaid mengenai apa yang digelar sebagai 'pelan induk' pembinaan semula Gaza.
Slaid tersebut memaparkan peta penempatan baharu di Gaza serta lakaran hotel dan apartmen mewah di tepi laut dengan kapsyen 'Gaza Baharu'.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang berdepan waran tangkap Mahkamah Jenayah Antarabangsa, sebelum ini berkata beliau akan menyertai majlis itu, namun tidak hadir.
Antara wakil 19 negara yang berada di pentas bersama Trump termasuk dua sekutu populis rapatnya, Perdana Menteri Hungary Viktor Orban dan Presiden Argentina Javier Milei, selain pegawai dari beberapa monarki Timur Tengah yang mahu meraih sokongan.

