WASHINGTON, 20 Ogos (Bernama-Anadolu) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Rabu mengumumkan “operasi ekonomi paling melumpuhkan yang pernah dikenakan terhadap mana-mana negara”, sekali gus memperhebat kempennya untuk mengasingkan Iran serta memberi amaran bahawa negara dan syarikat yang membantu Tehran akan berdepan akibat ekonomi yang berat, lapor Anadolu Ajansi.
“Tiada siapa yang memberi Republik Islam Iran peluang lebih besar untuk mencapai perjanjian selain saya. Malangnya bagi mereka, mereka gagal memanfaatkan peluang itu,” kata Trump menerusi platform Truth Social.
Beliau berkata AS akan berusaha memutuskan saluran kewangan dan perdagangan yang memberikan sokongan ekonomi kepada Iran.
“Hari ini, saya juga mengumumkan bahawa mana-mana negara yang membenarkan institusi kewangan, perniagaan, lapangan terbang atau entiti kerajaan di negara berkenaan menyediakan apa jua bentuk bantuan kepada Iran akan turut berdepan akibat ekonomi yang sangat berat,” katanya.
Trump secara khusus menyenaraikan penyeludupan minyak, kemudahan pertukaran mata wang, pemindahan wang tunai, pengurup wang, pendaftaran kapal dan syarikat proksi sebagai antara kegiatan yang mesti dihentikan.
“Semua ini perlu dihentikan sekarang,” katanya.
Trump turut mendakwa keupayaan ketenteraan Iran telah terjejas teruk dengan berkata: “Tentera laut mereka sudah tiada, tentera udara mereka musnah dan kilang ketenteraan mereka kini hanya tinggal runtuhan.”
Beliau menyifatkan mata wang Iran sebagai “tidak bernilai”.
“Kita memerlukan semua sekutu kita untuk bersama-sama Amerika Syarikat dalam usaha mengasingkan dan menewaskan ancaman Iran,” katanya.
Trump mengakhiri kenyataan itu dengan mengulangi pendirian pentadbirannya sejak sekian lama berhubung program nuklear Iran.
“Iran tidak akan sesekali memiliki senjata nuklear,” katanya.

