Hutang negara Amerika Syarikat (AS) melepasi paras AS$40 trilion buat kali pertama, menurut data kerajaan yang dikeluarkan pada Rabu, sekali gus mencatat peningkatan lebih pantas berbanding unjuran terdahulu, lapor AFP.
Jabatan Perbendaharaan AS merekodkan jumlah hutang awam tertunggak sebanyak AS$40.05 trilion pada penutupan urus niaga Selasa.
Hutang Amerika Syarikat cecah AS$40 Trilion
Angka itu melebihi unjuran Pejabat Belanjawan Kongres (CBO) sebelum ini yang menjangkakan jumlah pinjaman kerajaan mencecah AS$39.4 trilion menjelang akhir tahun fiskal 2026.
Peningkatan hutang berlaku ketika komitmen jangka panjang kerajaan berkaitan keselamatan sosial dan penjagaan kesihatan terus meningkat, selain kos pembayaran faedah yang semakin tinggi.
Kebimbangan terhadap inflasi, konflik di Asia Barat serta perbelanjaan kerajaan turut meningkatkan kegusaran pelabur, manakala kos pinjaman kerajaan meningkat seiring kenaikan hasil bon Perbendaharaan AS.
Hasil bon Perbendaharaan jangka panjang meningkat pada Selasa ke paras tertinggi sejak 2007, didorong kebimbangan terhadap tekanan inflasi susulan perang dengan Iran serta defisit fiskal AS yang semakin besar.
Kenaikan hasil itu menyebabkan kerajaan AS terpaksa membiayai semula hutangnya pada kadar faedah tertinggi sejak sebelum krisis kewangan global 2008.
Bagaimanapun, Jabatan Perbendaharaan AS mengambil langkah menenangkan pasaran bon jangka panjang pada awal Rabu, menyebabkan hasil bon kembali menurun.
Kerajaan persekutuan AS kini beroperasi dalam keadaan defisit dan perlu membuat pinjaman bagi membiayai pelbagai komitmen, termasuk perbelanjaan berkaitan perang serta pemotongan cukai.
Felo belanjawan dan cukai di Brookings Institution, Jessica Riedl, berkata AS sudah lama berada di landasan defisit yang tidak mampan.
“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, AS mencatat defisit kira-kira AS$2 trilion walaupun dalam keadaan aman dan ekonomi berkembang,” katanya.
Beliau berkata, defisit yang dahulunya berada pada sekitar tiga hingga empat peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sudah meningkat kepada kira-kira enam hingga tujuh peratus, sekali gus menyebabkan pasaran kewangan semakin bimbang.
Risiko kepada ekonomi
Penganalisis bagaimanapun menegaskan tiada paras nisbah hutang kepada KDNK tertentu yang secara automatik akan mencetuskan krisis.
Walaupun paras AS$40 trilion mempunyai nilai simbolik, ramai pakar ekonomi menganggap hutang yang dipegang oleh orang awam sebagai ukuran yang lebih penting dari sudut ekonomi.
Riedl berkata, pencapaian paras tertentu seperti AS$40 trilion tetap menjadi isyarat kepada pasaran kewangan supaya memberi perhatian lebih serius terhadap peningkatan hutang negara.
Menurut pengarah dasar fiskal Bipartisan Policy Center, Caleb Quakenbush, pinjaman kerajaan melonjak ketika Kemelesetan Besar 2007-2009 dan kembali meningkat susulan langkah kerajaan menangani kemelesetan akibat pandemik COVID-19.
Namun, katanya, Kongres dan pentadbiran AS masih belum menangani trajektori perbelanjaan kerajaan secara “bermakna dan berkekalan”.
Beliau turut memberi amaran mengenai ketidakpastian yang timbul daripada tahap pinjaman kerajaan yang belum pernah berlaku sebelum ini.
Pasaran bon berdepan cabaran besar sekiranya berlaku krisis, katanya.
Malah, tanpa krisis sekalipun, peningkatan kos pinjaman kerajaan boleh menyebabkan kadar pinjaman lebih tinggi bagi pengguna dan syarikat, sekali gus memberi tekanan kepada pertumbuhan ekonomi.
Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, sebelum ini menetapkan sasaran untuk mengurangkan defisit negara kepada tiga peratus daripada KDNK.

