Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Sekurang-Kurangnya Sembilan Maut Dalam Kebakaran Hotel Di Kolkata

MAUT
Kredit: AFP

Sekurang-kurangnya sembilan orang, termasuk seorang kanak-kanak, maut manakala beberapa yang lain cedera dalam kebakaran di sebuah hotel di Kolkata, India, awal pagi Rabu.

Menurut SCMP, Pengarah Perkhidmatan Bomba Bengal Barat, Anuj Sharma berkata, kebakaran itu menyebabkan asap tebal menyelubungi hotel berkenaan dan beberapa mangsa ditemukan di dalam bilik air.

Katanya, lima jentera bomba dikerahkan untuk memadam kebakaran, manakala pasukan polis dan pengurusan bencana turut terlibat dalam operasi menyelamat.

Sembilan mangsa termasuk enam lelaki, dua wanita dan seorang kanak-kanak berjaya diselamatkan sebelum dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Menurut Sharma, maklumat awal mendapati penghawa dingin di hotel bajet berkenaan dipercayai meletup dan mencetuskan kebakaran, namun punca sebenar masih dalam siasatan.

Sementara itu, ahli parti pemerintah Bengal Barat, Santosh Pathak berkata, sebahagian mangsa dipercayai merupakan warga Bangladesh yang berada di Kolkata bagi mendapatkan rawatan perubatan.

“Kami sedang berusaha mengesahkan kewarganegaraan mangsa,” katanya kepada pemberita.

Dianggarkan kira-kira 60 tetamu berada di hotel berkenaan ketika kebakaran berlaku.

Hotel itu terletak di kawasan sesak di tengah Kolkata dan dikenali sebagai penginapan bajet yang turut mempunyai restoran.

Dalam perkembangan berkaitan, sekurang-kurangnya tujuh orang maut dalam kebakaran di sebuah hotel di Tarapith, Bengal Barat pada Isnin.

Menurut laporan Press Trust of India (PTI) yang dipetik SCMP, kebakaran berlaku kira-kira jam 4.30 pagi di tingkat bawah sebuah hotel empat tingkat ketika kebanyakan tetamu sedang tidur.

Kebanyakan tetamu terbabit dipercayai merupakan jemaah yang mengunjungi kawasan berkenaan untuk beribadat di kompleks kuil utama.

Pihak bomba berjaya mengawal kebakaran sebelum mangsa yang cedera dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Menurut laporan itu, sebahagian mangsa mengalami kecederaan akibat kebakaran, manakala yang lain menghadapi masalah akibat terhidu asap.

Pihak pengurusan hotel memaklumkan kebakaran mungkin berpunca dari kawasan kaunter penerimaan tetamu selepas komponen elektrik dalam sistem bekalan kuasa hotel terbakar.

Pihak berkuasa masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Intipati
  • Sekurang-kurangnya sembilan orang maut, termasuk seorang kanak-kanak, dalam kebakaran hotel di Kolkata.
  • Lima jentera bomba dikerahkan, manakala polis dan pengurusan bencana membantu operasi menyelamat.
  • Penghawa dingin dipercayai meletup dan mencetuskan kebakaran, namun punca sebenar masih disiasat.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan