Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Hilang 10 Tahun, Keluarga Ini Akhirnya Temukan Semula Kucing Kesayangan

Akhirnya temukan semula kucing kesayangan
Kredit: BBC & Wales Online

Bagi pencinta haiwan, kucing bukan sekadar haiwan peliharaan, malah sering dianggap sebagai teman dan sebahagian daripada keluarga.

Gelagatnya yang manja, comel dan kadangkala mencuit hati menjadikan si 'bulus' antara haiwan yang begitu dekat dengan kehidupan manusia.

Hubungan rapat itu juga membuatkan ramai pemilik begitu menyayangi dan mengambil berat tentang kucing mereka.

Kehadiran kucing di rumah mampu menceriakan suasana, menjadi peneman seharian dan memberikan rasa selesa kepada pemiliknya.

Tidak hairanlah, kehilangan seekor kucing boleh meninggalkan kesan yang mendalam kepada seseorang.

Bagi mereka yang sudah menganggapnya sebagai sebahagian daripada keluarga, kenangan bersama si 'bulus' pastinya sukar dilupakan.

Akhirnya temukan semula kucing kesayangan

Baru-baru ini, perkongsian pengguna Facebook @Lucy Robertson mencuri perhatian ramai selepas kisah kepulangan seekor kucing yang hilang selama sedekad kembali ke pangkuan keluarganya.

Selepas 10 tahun tanpa khabar berita, Charlie, kucing tabby yang kini berusia 13 tahun, akhirnya ditemui semula, satu detik yang disifatkan keluarganya sebagai sesuatu yang “mustahil”.

Charlie menghilang pada April 2016 ketika baru berusia tiga tahun, tidak lama selepas keluarganya berpindah ke kawasan baharu.

Kredit: Facebook Lucy Robertson

Pelbagai usaha dilakukan untuk mencarinya, namun tiada petunjuk yang membawa kepada penemuannya.

Kepulangannya pada bulan lalu bukan sahaja mengejutkan keluarga Robertson, malah mengakhiri penantian selama 10 tahun untuk mengetahui apa yang berlaku kepada haiwan kesayangan mereka.

Hilang selepas berpindah rumah

Pemilik Charlie, adik-beradik Lucy dan Hannah Robertson, berdepan detik menyedihkan apabila kucing kesayangan mereka tidak pulang selepas keluar merayau seperti biasa.

Hannah yang ketika itu berpindah dari Newbridge ke Abercarn, Caerphilly, berkata Charlie hanya sempat berada di rumah baharu mereka selama tiga hari sebelum menghilang.

Sebagai kucing yang biasa dibenarkan keluar rumah, Charlie sememangnya gemar merayau di sekitar kawasan kediaman.

“Kami ada menerima satu atau dua maklumat mengenai keberadaannya dan cuba mencarinya, tetapi setiap kali kami terlepas.

Kredit: Facebook Lucy Robertson

“Kami tidak pernah berputus asa, tetapi malangnya kami tidak berjaya menemukannya,” kata Hannah kepada BBC Radio Wales Drive.

Lucy pula berkata mereka melakukan pelbagai usaha untuk mencari Charlie, termasuk bertanyakan kepada penduduk sekitar dan membuat hantaran di Facebook.

Namun, tiada petunjuk yang membawa mereka kepada kucing berkenaan.

“Ia sangat menyedihkan. Kami bimbang dia mungkin dilanggar atau sudah tiada lagi,” katanya.

Panggilan yang tidak disangka-sangka

Segalanya berubah pada 29 Julai lalu apabila Hannah menerima panggilan daripada sebuah klinik veterinar di Abercarn.

Pihak klinik memaklumkan mereka telah menemui Charlie.

Hannah yang menerima berita itu pada hari ulang tahun ke-30 Lucy, mengakui dia benar-benar terkejut apabila mengetahui kucing yang hilang selama 10 tahun itu masih hidup.

Charlie ditemui oleh seorang penduduk berhampiran yang menyedari kucing itu tinggal di kawasan semak.

Kredit: Facebook Lucy Robertson

Individu berkenaan dipercayai memberi makanan kepada Charlie selama beberapa minggu sebelum membawanya ke klinik veterinar.

Pihak veterinar kemudiannya berjaya mengesan keluarga Robertson menerusi nombor telefon yang didaftarkan pada mikrocip Charlie.

Malah, doktor veterinar turut terkejut selepas mengetahui kucing itu telah hilang selama sedekad.

Masih sihat walaupun 10 tahun menghilang

Apa yang lebih mengharukan, Charlie berada dalam keadaan kesihatan yang baik ketika ditemui.

Bulunya masih elok dan dia tidak kelihatan seperti kucing yang telah lama hidup terbiar.

“Dia sudah melalui satu pengembaraan. Saya rasa kami tidak akan pernah tahu apa yang sebenarnya berlaku kepada Charlie,” kata Hannah.

Kenal keluarga serta-merta

Lucy berkata Charlie mengenali mereka “serta-merta”, sesuatu yang langsung tidak dijangka selepas tempoh perpisahan yang begitu lama.

“Ia sangat menggembirakan kerana kami tidak menyangka dia masih mengenali kami.

“Dia tidak kelihatan banyak berubah. Dia kelihatan sama seperti dalam gambar lama yang kami ada,” katanya.

Kredit: Facebook Lucy Robertson

Kini, Charlie sedang menyesuaikan diri semula dengan kehidupan di rumah, termasuk membiasakan dirinya dengan haiwan peliharaan lain yang turut tinggal bersama keluarga Robertson.

Menurut Lucy, proses itu masih berjalan, namun Charlie nampaknya sudah kembali menikmati kehidupan sebagai haiwan kesayangan.

Kini jadi ‘Selebriti’

Selain mendapat makanan yang mencukupi, Charlie turut menikmati perhatian daripada keluarganya selepas kembali ke rumah.

Lucy berkata kucing itu masih mesra seperti 10 tahun lalu dan kelihatan begitu selesa menerima layanan istimewa.

“Buat masa ini, saya rasa dia tahu dirinya sudah menjadi selebriti,” katanya.

Selepas satu dekad penuh tanda tanya, kepulangan Charlie bukan sekadar berita gembira buat keluarga Robertson, malah menjadi bukti bahawa harapan untuk menemukan semula haiwan kesayangan tidak semestinya berakhir walaupun masa sudah berlalu begitu lama.

Intipati
  • Charlie hilang pada April 2016 selepas keluarga Robertson berpindah ke kawasan baharu.
  • Kucing itu ditemui berhampiran semak sebelum dibawa ke klinik veterinar di Abercarn.
  • Keluarga Robertson dikesan melalui mikrocip, manakala Charlie dilaporkan masih sihat ketika ditemui.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan