Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Tular Detik Kapal Tongkang Rempuh Kafe Baru Diubah Suai

Azizah Najib
Kredit: Laman X

Tular Detik Kapal Tongkang Rempuh Kafe Baru Diubah Suai

Indonesia – Sebuah kapal tongkang merempuh sebuah kafe di tebing Sungai Mahakam, Samarinda pada Selasa, lapor Kompas.

Detik pelanggaran antara tongkang Marine Power dengan Kafe Tepi Mahakam itu tular di media sosial. Kapal tersebut yang kebiasaannya membawa arang batu dipercayai tidak mempunyai sebarang muatan ketika pelanggaran berlaku.

Seorang penduduk, Andri, 40, menyaksikan kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 2 petang waktu tempatan. Kafe tersebut sudah mula beroperasi berikutan waktu dibuka bermula jam 10 pagi hingga 9 malam.

Ketika kejadian, cuaca hujan diikuti angin kencang.

“Ketika hujan lebat dan angin kencang, haluan kapal (tongkang) terus menghala ke arah sini. Angin bertiup dan tali putus,” ujarnya.

Tali kapal tongkang tersebut dipercayai putus daripada kapal, mengakibatkannya hanyut dibawa angin kuat sehingga berlaku pelanggaran.

“Sebaik sahaja berlanggar, bunyi retak kendengaran,” tambah Andri.

Menurutnya, ketika pelanggaran berlaku, beberapa individu masih berada di dalam kafe. Malah, terdapat juga pelanggan yang sedang makan di dalam kafe tersebut.

“Tadi, masih ada pelanggan yang sedang makan dan minum kopi di dalam kafe. Ketika pelanggaran berlaku, semua mula melarikan diri,” katanya.

Kredit: Kompas

Biarpun begitu, Andri berkata ketika kejadian, terdapat kapal penduduk tempatan yang pantas bertindak menarik tongkang tersebut. Tindakan tersebut mengelakkan berlaku pelanggaran yang lebih teruk, malah bagi mengelakkan tongkang melanggar kapal-kapal lain.

“Nasib baik ada beberapa kapal lain yang dapat membantu. Kalau tidak, habis. Tujuannya hanya untuk menyelamatkan mereka yang berada di situ supaya tidak berlaku kejadian yang lebih teruk,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Unit Polis Air dan Udara Samarinda, AKP Rachmat Aribowo memaklumkan kenyataan daripada beberapa orang saksi telah diambil. Soal siasat dijalankan terhadap 15 orang saksi termasuk kru tongkang, pemilik kafe dan orang ramai yang berada di tempat kejadian.

Kredit: Kompas

“Hasil pemeriksaan awal menunjukkan tali penarik kapal putus dan menyebabkan tongkang tersebut senget sehingga melanggar kafe tersebut,” katanya.

Rachmat turut mengesahkan kapal tongkang tersebut tidak mempunyai sebarang muatan.

Setakat ini, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan anggaran kerugian juga belum disahkan. Kapal tongkang Marine Power turut disita oleh pihak Unit Polis Air dan Udara Samarinda.

Dalam pada itu, pemilik kafe tersebut, Slamet, mengakui mengalami kerugian yang sangat besar.

Malah, kafe tersebut sebenarnya baru saja selesai diubah suai sebulan yang lalu dengan kos hampir ratusan juta rupiah.

“Pembinaan kayu dan kosnya mahal dan untuk membinanya mengambil masa selama sebulan lebih. Kalau dibaiki lagi, ia boleh mencecah Rp 2 bilion (RM550,718) dan itu belum campur kos lain lagi,” katanya.

Menurutnya lagi, kejadian tersebut juga turut memberi kesan kepada pekerja-pekerjanya.

Slamet juga mengesahkan bahawa ejen dari kapal tersebut datang ke kafe miliknya sejurus selepas kejadian itu berlaku.

“Ejen (kapal) sudah datang ke sini, jika dia bertanggungjawab, ya, tetapi belum ada perbincangan mengenai itu,” katanya.

BACA: Roket SpaceX Meletup Semasa Ujian Penerbangan

Sumber: Kompas